Permohonan Najib jalani tahanan rumah dibawa ke Mahkamah Rayuan


Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

KES permohonan Datuk Seri Najib Razak bagi menjalani baki hukuman penjaran enam tahun sebagai tahanan di rumah akan dibawa ke Mahkamah Rayuan.

Menerusi laporan Malaysiakini, peguam mewakili Najib yang juga bekas Perdana Menteri, Muhammad Farhan Muhammad Shafee mengesahkan bahawa rayuan terbabit adalah berkaitan dengan kewujudan dakwaan titah addendum.

BACA LAGI: KPM kaji cadangan bawa guru sukarelawan dari Singapura — Fadhlina Sidek

BACA LAGI: Kekasih sendiri suspek kes bunuh Nur Farah Kartini — Polis

"Notis rayuan difailkan pada 9 Julai, dan Mahkamah Rayuan telah menetapkan 7 Oktober untuk pengurusan kes perkara itu," kata peguam itu kepada Malaysiakini petang ini.

Najib sebelum itu membuat permohonan untuk meminta pihak berkuasa untuk menguatkuasakan titah addendum diraja yang didakwa membenarkan dia menjalani tahanan rumah.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi pada 3 Julai lalu menolak permohonan tersebut dan memutuskan bahawa semua afidavit yang mendakwa kewujudan titah addendum berkenaan hanyalah khabar angin semata-mata.

Terdahulu, Najib memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman pada 1 April lalu.

2650184

Mahkamah Rayuan menetapkan 7 Oktober untuk pengurusan kes permohonan terbabit. — Gambar hiasan

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner General Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi), Ketua Pengarah Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri dan kerajaan sebagai responden pertama hingga ketujuh masing-masing.

Dalam notis permohonan itu, Najib memohon perintah mandamus supaya kesemua responden atau salah seorang daripada mereka menjawab dan mengesahkan kewujudan perintah tambahan bertarikh 29 Januari lalu.

Najib memohon perintah mandamus di mana jika perintah tambahan itu wujud, semua atau satu daripada responden mesti melaksanakan perintah diraja dan segera memindahkannya dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur di mana dia akan menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada 21 Mei lalu mengesahkan afidavit lima muka surat yang mendakwa beliau diberitahu mengenai perintah tambahan diraja oleh Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz lewat petang pada 30 Januari.

Pada petang sama, Wan Rosdy berkata, beliau turut menghadiri perjumpaan di kediaman Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Country Heights, Kajang, Selangor.

Menurutnya, turut hadir dalam pertemuan itu ialah beberapa pimpinan Umno lain antaranya Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Ahmad Maslan and Datuk Seri Azalina Othman Said turut hadir, antara lain.

Wan Rosdy, yang merupakan Naib Presiden Umno, bagaimanapun berkata, beliau tidak mempunyai salinan perintah tambahan itu atas alasan rahsia memandangkan adendum itu tidak berkuat kuasa.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram