KEPUTUSAN bekas Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak disifatkan sebagai pengumuman yang mengejutkan.
Sebaliknya penganalisis politik, Profesor Dr Rusdi Omar berpandangan, tindakan itu adalah satu langkah yang sudah dapat dijangka banyak pihak.
"Apabila beliau tidak dicalonkan sebagai calon semasa PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) dan anak beliau sendiri (Nurul Syazwani) sertai BERSATU, kita pun sudah jangka Noh akan masuk juga.
BACA LAGI: Kecewa dengan nasib Najib punca Noh Omar sertai BERSATU
BACA LAGI: Bekas Pengarah SRC percaya arahan Najib demi kebaikan negara, syarikat
"Tanpa parti beliau tidak boleh bergerak dalam politik.
"Jadi mahu tidak mahu Noh kena buat pilihan sama ada dalam Umno ataupun parti politik lain," katanya kepada Majoriti.
Noh Omar (dua dari kiri) kecewa akan keputusan mahkamah yang menolak permohonan Najib (dua dari kanan) untuk menjalani tempoh hukuman penjara di rumah.
Mengulas lanjut, Rusdi berkata, alasan Noh yang mengatakan tindakan itu dibuat susulan kekecewaannya terhadap nasib menimpa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang gagal mencabar Titah Adendum di mahkamah, hanyalah sekadar retorik semata-mata.
Jelasnya, ini kerana dalam dunia politik, semuanya berkisar tentang survival (kelangsungan).
"Walaupun kata sebab Najib dan sebagainya, bagi saya, saya tak nampak alasan itu. Najib hanya alasan retorik yang diberikan Noh.
"Dalam politik, mereka akan fikir tentang survival, jadi Noh kena buat macam itu (sertai BERSATU)," ujarnya
Dalam masa sama, Rusdi turut berpendapat, tindakan bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu juga sepertinya sudah dijangka kepimpinan Umno sendiri, apabila Noh tidak dicalonkan semasa PRU15 bagi mewakili parti berkenaan.
"Kalau nak masuk Umno (semula), belum tentu lagi parti tersebut boleh terima beliau.
"Beliau pun berceramah bersama dengan Perikatan Nasional (PN), macam mana nak masuk Umno?
"Namun kalau masuk PAS di Selangor, cabaran agak besar untuk beliau menang, jadi yang dekat dengan Umno, BERSATU sahajalah," jelasnya.
Rusdi Omar
Majoriti pada Khamis melaporkan, Noh mengesahkan beliau menyertai BERSATU berkuat-kuasa serta-merta.
Menurut Noh, keputusan itu dibuat berikutan kecewa dengan nasib menimpa bekas Najib yang tidak berjaya mencabar Titah Adendum di mahkamah.
Untuk rekod, Noh sebelum ini dipecat daripada Umno disebabkan pelanggaran disiplin parti semasa PRU-15.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram