Hukuman sebat bukan sekadar peringatan, didik masyarakat bendung mukadimah zina — Pakar agama


  • Mukmin
  • Jumaat, 27 Dis 2024

Hukuman enam kali sebatan kerana berkhalwat itu akan dibuat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu, Terengganu pada Jumaat. — Gambar hiasan

TERENGGANU mengira detik untuk melakar sejarah tersendiri apabila bakal melaksanakan hukuman sebat terhadap seorang pesalah kes khalwat di khalayak ramai pada Jumaat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu.

Mohd Affendi, 42, akan menjadi individu pertama di Terengganu yang dihukum dengan enam kali sebatan berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu pada 20 November lalu.

Ini selepas lelaki itu mengaku salah atas kesalahan khalwat berulang mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.

BACA LAGI: Amalan 'mahal' elak lupa hafalan, bukan setakat calon SPM, ibu bapa pun boleh buat

BACA LAGI: [VIDEO] Jangan salah pilih, 3 golongan wanita tak boleh dipinang dijadikan isteri menurut hukum Islam

izharariff

Beliau berkata, setiap negeri harus menilai secara teliti keperluan untuk melaksanakan hukuman tersebut berdasarkan keadaan dan masalah sosial yang berlaku di negeri masing-masing.

Pelaksanaan hukuman sebat secara terbuka itu tidak pernah dilakukan di Malaysia, sekali gus bakal menarik perhatian ramai pihak termasuk media antarabangsa terhadap pelaksanaan undang-undang syariah di negara ini.

Ada kemungkinan wujud tanggapan negatif terhadap pelaksanaan hukuman itu terutamanya daripada kumpulan hak asasi manusia seperti yang dihadapi kerajaan Aceh di Indonesia.

Umum mengetahui, kerajaan Aceh melaksanakan hukuman sebat secara terbuka terhadap pesalah kes syariah sejak 2005, setahun selepas wilayah Indonesia itu dilanda tsunami.

Malah Aceh menjadi satu-satunya wilayah di Indonesia yang majoriti Muslim mengenakan undang-undang Islam, yang membenarkan hukuman sebat untuk tuduhan termasuk perjudian, perzinaan, minum arak dan seks sejenis.

Kumpulan hak asasi manusia menyelar hukuman sebat awam sebagai kejam, malah bekas Presiden Indonesia Joko Widodo menggesa ia dihentikan walaupun penduduk Aceh menyokong pelaksanaan hukuman tersebut.

Mengulas tentang pendekatan sama akan diambil Terengganu untuk menghukum pesalah kes khalwat, Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Masyarakat, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berpandangan bahawa hukuman sebatan itu merupakan salah satu pendekatan takzir yang diterima dalam undang-undang Islam sebagai peringatan kepada umat Islam yang terlibat dalam perbuatan yang membawa kepada zina.

Beliau menjelaskan hukuman sebatan khalwat itu bukanlah bertujuan untuk menghukum semata-mata tetapi lebih kepada memberi pengajaran kepada masyarakat terutamanya yang terlibat dalam mukadimah zina seperti khalwat.

"Pendekatan takzir seharusnya dilaksanakan bagi membendung mereka yang melakukan khalwat atau perkara-perkara yang boleh membawa kepada zina seperti bertemu dengan mahram di tempat-tempat yang meragukan," katanya kepada Majoriti.

Menurut Mohd Izhar Ariff, dalam al-Quran menyatakan hukum untuk perempuan dan lelaki yang berzina dan belum berkahwin adalah sebatan 100 kali manakala untuk pasangan yang sudah berkahwin hukuman ditetapkan adalah rejam hingga mati dikenali hukum hudud.

Namun, beliau menjelaskan bahawa hudud tidak dilaksanakan di Malaysia pada masa kini.

Jelasnya, pelaksanaan sebatan khalwat yang dilakukan oleh Mahkamah Syariah Terengganu adalah berdasarkan pendekatan takzir sebagai langkah untuk mencegah gejala sosial yang lebih besar.

"Sebatan khalwat adalah salah satu cara untuk memberi peringatan kepada umat Islam supaya mengelak daripada perbuatan tersebut.

"Ini juga usaha kerajaan untuk memastikan negara Malaysia bebas daripada gejala khalwat, zina dan anak luar nikah yang sering terhasil daripada perbuatan zina.

"Jadi, inisiatif ini adalah salah satu langkah untuk membendung maksiat," jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan hukuman sebatan khalwat di negeri lain, beliau berkata, setiap negeri harus menilai secara teliti keperluan untuk melaksanakan hukuman tersebut berdasarkan keadaan dan masalah sosial yang berlaku di negeri masing-masing.

Beliau yang juga Lembaga Pemegang Amanah (ALPA) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) itu berkata, selagi hukuman tersebut memberi manfaat dalam membendung gejala sosial dan melindungi masyarakat, ia boleh diterima sebagai salah satu langkah pencegahan yang baik.

"Setiap negeri mempunyai keadaan dan cabaran yang berbeza namun, selagi mana hukuman ini bertujuan untuk membendung maksiat, zina, khalwat dan gejala yang menyebabkan anak luar nikah, saya melihat ia adalah satu usaha yang baik.

"Mahkamah syariah di negeri Terengganu boleh dijadikan contoh tetapi pelaksanaan ini bergantung kepada pemimpin dan perbincangan di peringkat negeri.

"Jika negeri lain setuju maka mereka boleh melaksanakan hukuman ini tetapi ia perlu dibincangkan dan mendapat perkenan daripada sultan negeri tersebut," katanya.

3072081

Hukuman sebat terhadap pesalah khalwat merupakan satu hukuman sebatan syariah bagi kesalahan jenayah syariah takzir bertujuan memberi pengajaran kepada pesalah itu sendiri dan individu lain. — Gambar hiasan

Menyentuh soal proses hukuman sebatan khalwat itu, beliau berkata, hukuman yang dikenakan adalah sama tanpa mengira jantina dan usia.

"Sebatan 100 kali akan dikenakan kepada individu yang terlibat dalam perbuatan khalwat dan zina seperti yang ditetapkan dalam undang-undang Islam.

"Oleh itu, tiada perbezaan dalam pelaksanaan hukuman sebatan ini antara lelaki dan wanita sesuai dengan prinsip keadilan dalam undang-undang syariah," ulasnya.

Namun katanya, pelaksanaan hukuman itu juga bergantung kepada budi bicara mahkamah syariah yang menilai kes tersebut secara keseluruhan.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan agar kadar khalwat di Malaysia dapat dikurangkan dan masalah anak luar nikah yang berpunca daripada zina dapat ditangani dengan lebih efektif.

"Setiap negeri perlu melakukan penilaian secara berterusan dan melibatkan masyarakat dalam usaha untuk membendung gejala-gejala sosial yang semakin meningkat termasuk khalwat dan zina agar dapat memastikan masyarakat lebih terpelihara dari segi moral dan sosial," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram