'Peribadi rendah diri Sultan Ibrahim buat kami tenang', pemilik generasi ke-3 restoran asam pedas Lee besar hati kerabat diraja jadi pelanggan setia


  • Bizz
  • Selasa, 17 Dis 2024

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim bersantap bersama Tunku Ismail dan Anwar Ibrahim di restoran asam pedas Lee. — Gambar Ihsan FB/ Sultan Ibrahim

SIAPA sangka restoran asam pedas yang dahulunya biasa-biasa sahaja kini menjadi pilihan istimewa dari kerabat diraja dan pemimpin negara.

Restoran asam pedas milik keluarga Lee Wen Hao, yang terkenal dengan hidangan enak dan citarasa unik, bukan sahaja menjadi kegemaran penduduk tempatan, malah sering dikunjungi pemimpin negara seperti Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim; Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahhim dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bermula dengan kunjungan Sultan Ibrahim semasa menjadi Tunku Mahkota Johor, Lee menyatakan bahawa keluarga diraja Johor terutamanya Tunku Ismail turut menjadi pelanggan tetap restoran asam pedas keluarga mereka yang kini merupakan milik generasi ketiga.

BACA LAGI: Sanctuary Akekchep Kelah buka bisnes Orang Asli menerusi destinasi pelancongan baharu

BACA LAGI: Satu kampung pernah 'down' sebab harga rendah, wanita Kota Belud susun strategi jana pendapatan komuniti dengan serbuk koko

2024-12-15 19.14.09

Sajian utama yang dihidangkan adalah asam pedas ikan, ikan goreng, sotong dan tauge.— Gambar Ihsan FB/ Sultan Ibrahim

“Mereka adalah pelanggan setia yang datang ke sini sekali atau dua kali seminggu,” ujar Lee yang masih teruja berkongsi kisah tersebut.

Namun, apa yang lebih istimewa lagi adalah kesempatan yang diberikan pada minggu lalu apabila Lee berpeluang menyajikan hidangan untuk Sultan Ibrahim; Tunku Ismail; Anwar Ibrahim; Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani dan Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar.

"Ini adalah kali pertama kami mendapat peluang untuk menyajikan hidangan kepada kerabat yang kini menjadi Agong.

"Sultan Ibrahim datang ke restoran kami sejak tuanku muda lagi terutamanya ketika baginda masih lagi memegang gelaran Tunku Mahkota Johor," kata Lee.

Mengimbas kembali kenangan itu, Lee berkata, walaupun Sultan Ibrahim tidak lagi berkunjung selepas menaiki takhta sebagai Sultan Johor, dia tidak menjangkakan bahawa baginda akan datang berkunjung setelah dilantik menjadi Agong.

“Kami tidak menyangka tuanku dapat datang kerana tanggungjawab yang semakin besar sebagai Agong kepada seluruh negara.

"Tetapi kehadiran tuanku memberi kami satu kepuasan yang luar biasa,” katanya dengan penuh rasa bangga.

Kunjungan istimewa restoran asam pedas di Johor Bahru itu bermula sekitar pukul 11 pagi dan berakhir pada 1 petang pada 11 Disember lalu.

Antara hidangan yang disajikan adalah asam pedas ikan yang merupakan hidangan utama restoran tersebut selain ikan goreng, sotong dan tauge.

Menurut Lee, meskipun status tuanku sebagai Raja di Malaysia, peribadi Sultan Ibrahim tetap rendah diri dan tidak berubah.

"Walaupun menjadi Yang di-Pertuan Agong, keperibadian tuanku tetap sama dan baginda sangat merendah diri dan tidak menunjukkan sebarang perubahan yang ketara.

"Itu membuatkan kami rasa lebih tenang dan tidak tertekan untuk menyajikan hidangan kepada Tuanku," kata Lee.

Tidak hanya Sultan Ibrahim, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menjadikan lawatan itu sebagai satu kenangan istimewa kerana ia adalah kali pertama beliau datang ke restoran tersebut.

Difahamkan sehari selepas kunjungan itu, restoran yang terkenal dengan hidangan asam pedasnya kembali beroperasi seperti biasa, menyambut pelanggan setia yang kebanyakannya adalah penduduk tempatan.

Antara pelanggan tetap yang sering berkunjung adalah pengukir, Seo Ton Yong, 56, yang mengunjungi restoran tersebut sejak tahun 1980-an.

"Saya datang sekitar sekali sebulan dan masakan asam pedas di sini sangat berbeza kerana rasanya lebih segar dan unik berbanding tempat lain," katanya.

Pelanggan tetap yang lain, seorang usahawan, Farhana Ahmad, 38, turut berkongsi kegemarannya terhadap hidangan ikan goreng yang terkenal di restoran tersebut.

"Walaupun mereka terkenal dengan asam pedas, ikan goreng mereka sangat sedap dan berbeza dengan yang lain.

"Saya selalu datang sekurang-kurangnya sebulan sekali," kata Farhana.

Restoran asam pedas itu jelas mendapat tempat istimewa di hati para pelanggan termasuk mereka yang berpengaruh dan terus menjadi pilihan ramai, baik pelanggan lama mahupun yang baru. — The Star/VENESA DEVI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram