PENGEMBARA warganegara Malaysia dikehendaki memuat turun aplikasi MyBorderPass untuk mendaftar butiran perjalanan sebelum menggunakan sistem kod respons pantas (QR) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Jabatan Imigresen (JIM) memaklumkan, pengembara yang menggunakan aplikasi tersebut perlu menjalani proses pengesahan wajah sebelum memulakan perjalanan atau semasa ketibaan.
Menurutnya, ia merupakan pengalaman baharu semua rakyat Malaysia bermula Januari tahun ini.
BACA LAGI: KLIA sesak, terjejas gangguan teknikal global
BACA LAGI: Temui nota ancaman letupan di KLIA, polis sahkan bagasi hanya berisi laptop
"Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah melancarkan sistem pelepasan imigresen menggunakan kod QR di KLIA khusus buat warganegara Malaysia," katanya menerusi satu hantaran di media sosial pada Sabtu.
Pada Rabu lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan akan melaksanakan tempoh percubaan penggunaan kod QR khas untuk rakyat Malaysia bagi memastikan pemeriksaan imigresen berjalan lancar di 40 laluan khas di Terminal 1 (T1) dan KLIA T2.
Penggunaan kod QR di ruang ketibaan dan balai pelepasan KLIA T1 bertujuan mengurangkan kesesakan yang sering berlaku di pintu masuk negara, terutama pada waktu puncak dan musim perayaan.
Antara kelebihan penggunaan kod QR adalah kelulusan imigresen hanya mengambil masa lima hingga tujuh saat, berbanding 15 hingga 25 saat menggunakan pintu automatik konvensional.
Jabatan itu juga memberi jaminan bahawa pelaksanaan penggunaan kod QR di pintu automatik KLIA tidak akan menjejaskan keselamatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram