Kerajaan beri kerjasama penuh jika usaha pencarian MH370 berhasil — PM Anwar


  • Primer
  • Rabu, 25 Dis 2024

Walaupun sudah sedekad berlalu sejak penerbangan tersebut hilang dari radar, masih banyak persoalan yang belum terungkai sehingga kini.

KERAJAAN memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh sekiranya usaha pencarian pesawat Malaysia Airlines MH370 membuahkan hasil, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, walaupun sudah sedekad berlalu sejak penerbangan tersebut hilang dari radar, masih banyak persoalan yang belum terungkai sehingga kini.

Menurutnya, kerajaan perlu mengimbangi antara keperluan mencari pesawat tersebut dan pada masa sama memastikan nilai terbaik dalam membelanjakan wang rakyat.

BACA LAGI: Kerajaan pertimbang cadangan Ocean Infinity jejak lokasi baharu pesawat MH370

BACA LAGI: Sedekad hilang, isyarat baharu MH370 dikesan di Australia Barat

"Bukan sahaja keluarga dan waris, malah rakyat juga berhak mendapatkan jawapan kepada segala persoalan.

"Justeru kerajaan akan memberikan kerjasama sepenuhnya jika pencarian berjaya membuahkan hasil yang dinanti-nantikan selama ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Pada Jumaat lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan bahawa Kabinet bersetuju untuk menyambung semula pencarian MH370, selepas syarikat robotik marin, Ocean Infinity akan turut menyertai semula usaha tersebut.

Ocean Infinity sebelum ini menjalankan operasi pencarian di Lautan Hindi dari Januari hingga Mei 2018 namun tidak membuahkan hasil.

Selain itu, kerajaan Malaysia, China dan Australia juga telah mencari di kawasan seluas 120,000 kilometer persegi tetapi juga tidak menemukan sebarang petunjuk.

Pada awalnya, pencarian multinasional dilakukan di Teluk Thailand dan Laut China Selatan.

Pada 8 Mac 2014, pesawat Boeing 777-200ER itu hilang ketika dalam perjalanan ke Beijing.

Pesawat tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram