SISTEM perkhidmatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat dilaporkan mengalami gangguan teknikal yang turut menjejaskan sistem di beberapa negara lain.
Perkara itu dikongsikan pengguna media sosial, terutamanya di Facebook dan X dengan mengatakan mereka berdepan masalah yang menyaksikan terjadinya kesesakan di kaunter daftar masuk.
Malah, sistem perkhidmatan pengangkutan awam di KLIA, KLIA Express turut melaporkan penumpang perlu mendapatkan tiket secara manual di kaunter selepas sistem atas talian mereka tergendala.
BACA LAGI: Kes tembak KLIA: Sebutan semula kes pemilikan senjata api Hafizul Hawari 11 Ogos depan
BACA LAGI: Temui nota ancaman letupan di KLIA, polis sahkan bagasi hanya berisi laptop
Pengguna media sosial yang terjejas berkongsi keadaan semasa di KLIA Terminal 2. — X/Muhazsab
Selain itu, syarikat penerbangan tempatan, AirAsia melaporkan sistem daftar masuk mereka yang berlaku berikutan gangguan ke atas sistem atas talian Microsoft.
"AirAsia Move ketika ini sedang terkesan dengan masalah teknikal di peringkat global yang menyukarkan proses di AirAsia dan syarikat penerbangan lain di platform kami.
"Perkhidmatan lain seperti daftar masuk, tempahan penerbangan dan hotel serta penebusan AirAsia Points tidak dapat diakses ketika ini," tulis syarikat tersebut menerusi aplikasi AirAsia Move.
Berdasarkan laporan semasa, beberapa lapangan terbang di negara lain seperti di Changi, Thailand dan sekitar Eropah, Amerika Syarikat dan Australia berdepan masalah sedemikian.
Setakat ini, KLIA masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung gangguan berkenaan, namun pihak mereka dilaporkan sedang cuba melancarkan proses pendaftaran masuk. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram