BAGI mencapai tahap pendidikan bertaraf dunia, Malaysia sedang melaksanakan agenda reformasi yang tertumpu kepada anjakan perubahan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, matlamat itu adalah untuk memastikan semua objektif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 tercapai dalam tempoh yang ditetapkan.
Dengan hanya kira-kira setahun lagi sebelum berakhirnya PPPM 2013-2025, Kementerian Pendidikan (KPM) mengatur gerak kerja menerusi pelancaran agenda reformasi pendidikan untuk memperkukuh usaha negara ke arah mencapai standard pendidikan global.
BACA LAGI: Bajet besar buat KPM pemangkin reformasi pendidikan
BACA LAGI: Usaha KPM laksana KLIA 2024 beri peluang masyarakat selami dunia autisme
KPM menerusi agenda reformasi pendidikan memastikan tiada murid yang ketinggalan dalam aspek pendidikan.
Pelan reformasi tersebut memberi fokus kepada enam bidang utama iaitu intervensi kurikulum, penguasaan Bahasa Malaysia (BM) dan Bahasa Inggeris, pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), pendidikan digital serta penyelarasan prasekolah.
Menurut Fadhlina, PPPM 2013-2025 telah meletakkan asas kukuh untuk mentransformasikan sistem pendidikan dengan sasaran mencapai lima aspirasi.
“Ia termasuk akses, kualiti, kesaksamaan, perpaduan, dan kecekapan, serta aspirasi murid yang merangkumi pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran kepimpinan, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta jati diri kebangsaan.
“Oleh itu, agenda reformasi itu juga bertujuan meningkatkan lagi usaha bagi memenuhi standard pendidikan global yang digariskan dalam pelan sedia ada,” katanya.
Untuk mencapai matlamat tersebut, beberapa anjakan perubahan yang memerlukan tindakan segera perlu diberi perhatian, meliputi perkara berikut:
- Murid yang ketinggalan dalam pembelajaran
- Kekurangan keseragaman dalam kualiti pendidikan antara tadika dan prasekolah agensi Kerajaan
- Minat murid yang rendah terhadap STEM di peringkat menengah atas
- Akses murid yang terhad kepada bidang TVET
- Kemahiran literasi bahasa murid yang tidak memenuhi piawaian penilaian antarabangsa, dan
- Kemahiran kompetensi digital murid yang hanya di tahap asas, seperti yang ditunjukkan oleh Skor Kompetensi Digital Pelajar (DCS).
Sehubungan itu, jelas Fadhlina, sebanyak enam jawatankuasa khas telah ditubuhkan untuk melaksanakan reformasi tersebut.
“Setiap jawatankuasa khas itu bertanggungjawab terhadap anjakan perubahan bagi mencapai petunjuk prestasi utama yang dikenal pasti dalam PPPM,” katanya.
Pada masa sama, Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan bertanggungjawab menyelia pelaksanaan keseluruhan agenda reformasi pendidikan dan akan melaporkannya secara langsung kepada Menteri Pendidikan.
Tiada murid yang akan ketinggalan
Pertamanya, KPM memperkenalkan Dokumen Penjajaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) Edisi 3 (Semakan 2017) sebagai langkah menangani isu pelajar yang tercicir atau ketinggalan dalam pembelajaran.
Dokumen itu memberikan pilihan kepada guru-guru sekolah rendah untuk melaksanakan kurikulum dengan lebih berkesan.
Sementara itu, guru mata pelajaran seperti Sains, Matematik, Bahasa Malaysia, dan Bahasa Inggeris untuk tahap rendah turut diberi pilihan tambahan menggabungkan dokumen itu dengan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran KSSR (Semakan 2017) serta Modul Bimbingan Tahap I (MOBIM) bagi membantu merancang kaedah penyampaian kandungan yang sesuai mengikut keperluan kelas masing-masing.
Penguasaan murid dalam Bahasa Inggeris juga menjadi keutamaan KPM.
Pada masa sama, pelaporan Pentaksiran Berasaskan Bilik Darjah (PBD) telah ditambah baik agar lebih mesra ibu bapa dan mudah difahami dengan penggunaan definisi yang lebih jelas bagi setiap deskriptor tahap penguasaan dalam Sistem Pengurusan Pentaksiran Bersepadu (SPPB).
Bagi sistem tahap penguasaan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) pula kini dilaporkan dalam bentuk peratusan dan gred.
Dalam usaha memastikan semua institusi prasekolah memenuhi piawaian kualiti kebangsaan, kementerian juga menjalankan pemantauan berterusan melalui penggunaan instrumen penilaian Standard Kualiti Prasekolah Kebangsaan (SKPK) 2.0.
Semua prasekolah yang melibatkan tadika di bawah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), dan tadika swasta yang berdaftar dengan kementerian, kini melaksanakan penilaian kendiri SKPK 2.0.
Penilaian tersebut merangkumi aspek seperti guru dan pembantu pengurusan murid, kesihatan, pemakanan, keselamatan, pentadbiran, kurikulum, serta penglibatan ibu bapa atau penjaga dan komuniti.
KPM turut melaporkan peningkatan dalam kualiti prasekolah yang dinilai menggunakan SKPK 2.0, dengan pencapaian 84.91 peratus bagi prasekolah di bawah kementerian, prasekolah swasta (81.09 peratus), prasekolah JPNIN (77.33 peratus) dan prasekolah KEMAS (76.03 peratus).
KPM terus perkukuhkan STEM dan TVET
KPM terus memperkukuh usaha membina modal insan berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang STEM menerusi kerjasama strategik dengan Yayasan PETRONAS.
Kerjasama itu menyaksikan penubuhan tiga hab STEM di Selangor, Terengganu, dan Sarawak.
Selain itu, kementerian turut bekerjasama dengan Penang Science Cluster (PSC) untuk membuka hab STEM di dua negeri lagi iaitu Perak dan Pulau Pinang.
Setakat ini, sebanyak 367 Pusat Aktiviti Guru (GK), 15 sektor Sumber Pendidikan dan Teknologi (SSTP), serta Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP) yang merangkumi Digital Maker Hub dan studio digital telah diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan (CoE).
Bagi meningkatkan kemahiran guru dalam STEM, kementerian telah memperuntukkan RM100,000 bagi pelaksanaan Program Pembudayaan STEM 2024 yang sedang dijalankan di 10 sekolah sebagai projek rintis.
Kementerian turut bekerjasama dengan Yayasan PETRONAS bagi melaksanakan Program Duta Guru, yang memberi tumpuan kepada guru STEM di sekolah yang mempunyai majoriti murid daripada komuniti B40.
Program terbabit melibatkan seramai 4,500 guru yang menggunakan pendekatan Pendidikan STEM bersepadu.
Fadhlina dan seluruh warga KPM berharap agenda reformasi tersebut akan membantu kementerian mencapai sasaran PPPM 2013-2025.
Fadhlina berkata, pelaksanaan pendidikan STEM bersepadu dalam pengajaran dan pembelajaran oleh guru akan meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi pelajar.
“Ia sekali gus melahirkan generasi yang cekap menyelesaikan masalah serta bersedia menghadapi cabaran masa depan,” ujarnya.
Di samping itu, sektor TVET juga menjadi fokus kementerian, dengan pencapaian ketara dalam peningkatan enrolmen di kolej vokasional, kadar kebolehpasaran yang tinggi, dan kejayaan memenangi pelbagai anugerah.
Kemahiran Bahasa
Sejak 2024, KPM telah memperkenalkan program mentor Sahabat Bahasa untuk menggalakkan dan memupuk pelaksanaan aktiviti Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dalam kalangan kakitangan kementerian, termasuk murid dan masyarakat.
Program itu bertujuan memastikan semua kakitangan kementerian, khususnya murid, menguasai pengetahuan, kemahiran, nilai, dan etika komunikasi.
Dalam bidang pendidikan digital, kementerian telah melancarkan Sistem Nilam Bersepadu Lanjutan (AINS).
AINS merupakan sistem rakaman bacaan digital interaktif yang menawarkan elemen menarik seperti permainan, penilaian, cadangan bahan bacaan.
Sistem berkenaan membolehkan murid memperoleh mata ganjaran yang boleh ditebus untuk menggalakkan amalan membaca.
Sehingga bulan Jun, AINS telah mencatat lebih lima juta murid dengan membabitkan sejumlah 2,181,809 bahan bacaan.
Kejayaan reformasi pendidikan akan menyediakan asas yang lebih kukuh buat generasi akan datang.
Sehubungan itu, Fadhlina berharap agenda reformasi tersebut akan membantu kementerian mencapai sasaran PPPM 2013-2025.
“Kejayaan reformasi pendidikan ini akan menyediakan asas yang lebih kukuh untuk merancang pelan pendidikan baharu kementerian.
“Untuk itu, kementerian telah mula mengadakan sesi libat urus dan kerjasama bersama pihak berkepentingan untuk membangunkan pelan masa depan.
“Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha kami untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, berbudi pekerti, bertanggungjawab dan berkemahiran.
“Pada masa sama, ia berupaya mencapai kesejahteraan peribadi sambil menyumbang kepada keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat, dan negara,” katanya menutup bicara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram