DENGAN pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang kulinari, Mohamad Faeizuddin Hussin, 31, kini mencuri tumpuan dengan perniagaannya, Pasta Pintal yang menawarkan pasta segar buatan tangan.
Ditubuhkan pada Oktober 2024, bisnes yang beroperasi di tepi jalan sekitar Putra Heights, Subang Jaya, Selangor itu membawa konsep unik yang mana pelanggan dapat menyaksikan sendiri proses penghasilan pasta dari awal hingga siap.
Ia pastinya sesuatu yang jarang ditemui di tepi jalan!
Graduan kulinari dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam ini bukanlah nama baharu dalam dunia masakan.
Dari mewakili UiTM dalam pertandingan kulinari hingga berkhidmat di restoran semi-fine dining dan masakan fusion, jejaka yang mesra disapa Faeiz itu pernah menyertai produksi fine catering untuk selebriti dan acara diraja.
Selain itu, jangan tak tahu anak jati Kelantan itu juga merupakan individu di sebalik beberapa rancangan masakan di televisyen.
"Inspirasi menjalankan bisnes bermula ketika melihat video pembuatan pasta segar di Itali secara dalam talian.
"Keterujaan bertambah apabila mentor saya di Malaysia berkongsi kemahiran ini semasa sesi R&D (penyelidikan dan pembangunan). Sejak itu, saya temui minat sebenar saya," katanya kepada Majoriti.
Keistimewaa Pasta Pintal adalah terletak pada pembuatan pasta segar sepenuhnya dibuat di tepi jalan.
Keistimewaan Pasta Pintal
Keunikan Pasta Pintal adalah terletak pada proses pembuatan pasta segar yang sepenuhnya dijalankan di tepi jalan.
"Dari menguli menggunakan tepung double zero (tepung yang sesuai untuk semua jenis pastri dan piza), membentuk pasta sehinggalah menghasilkan produk akhir, semuanya dilakukan di hadapan pelanggan.
"Tidak dinafikan proses penyediaan pasta segar agak memakan masa panjang, namun inilah keistimewaan dan keunikan yang cuba ditampilkan Pasta Pintal.
"Setahu saya, setakat ini tiada lagi peniaga yang menjual pasta dengan menghasilkannya secara secara segar di tepi jalan," jelasnya.
Mohamad Faeizuddin mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam bidang kulinari.
Berkongsi lanjut mengenai Pasta Pintal, Mohamad Faeizuddin memberitahu, dia menawarkan dua jenis pasta yakni fettucine dan ravioli untuk lima pilihan menu, bersama dua pilihan makanan ringan iaitu Bruschetta.
Harga bermula dari RM16 hingga RM19, manakala RM26 untuk kedua-dua Bruschetta dan pasta segar.
"Antara menu popular di sini antaranya creamy smoked duck, salted egg pasta dan rendang mak-mak," jelasnya yang menghasilkan kira-kira 20 kilogram (kg) doh pasta setiap kali beroperasi.
Keunikan Pasta Pintal terletak pada proses pembuatan pasta segar sepenuhnya di tepi jalan. — Instagram/pastapintal
Cabaran berniaga tepi jalan
Meskipun sambutan diterima menggalakkan hari demi hari, usahawan itu mengakui, menjalankan perniagaan pasta segar di tepi jalan juga punya cabaran tersendiri.
Antaranya termasuk ruang penyimpanan terhad yang memerlukan pasukannya membuat dua kali perjalanan menggunakan satu kereta, untuk membawa kesemua barang setiap kali berniaga.
"Kebiasaannya ia akan mengambil tempoh masa 15 hingga 20 minit untuk perjalanan pergi dan balik," jelasnya.
Mohamad Faeizuddin (berdiri, tengah) mengakui, menjalankan perniagaan pasta segar di tepi jalan juga punya cabaran tersendiri.
Tambah Mohamad Faeizuddin lagi, cuaca tidak menentu seperti hujan lebat juga adakalanya menyebabkan proses penghasilan pasta menjadi begitu mencabar.
"Selain itu, kami juga pernah berdepan keadaan hujan lebat yang tidak berhenti hingga mengakibatkan tiada pelanggan berkunjung ke tapak ini," ujarnya sambil memberitahu Pasta Pintal beroperasi setiap Sabtu dan Ahad, pukul 6 petang hingga 11 malam.
Aneka pasta dan makanan ringan, Bruschetta (kanan) yang ditawarkan di Pasta Pintal. — Instagram/pastapintal
Pelanggan suluh lampu
Mohamad Faeizuddin dalam pada itu turut meluahkan rasa syukur apabila pelanggan setianya tidak putus-putus memberikan sokongan.
Sambil tertawa kecil, anak pertama daripada lima beradik itu sempat berkongsi antara detik manis yang membuatkan dirinya terharu dan lebih bersemangat untuk mengembangkan perniagaan.
"Pelanggan kami sangat menyokong dan memahami, ada yang bantu kami dengan cara menyuluh lampu ketika pencahayaan kurang baik pada waktu malam, ketika awal perniagaan.
"Bertemu pelanggan dari pelbagai latar belakang, yang berkongsi ilmu dan membina jaringan perhubungan menambah keseronokan dalam berniaga," tambahnya.
Mohamad Faeiz bagaimanapun turut berdepan kekangan dari segi ruang penyimpanan yang terhad. — Instagram/pastapintal
Melangkah ke masa depan, Mohamad Faeiz bercadang untuk menyertai lebih banyak acara seterusnya menubuhkan restoran dengan menu yang lebih pelbagai.
"Kami mahu Pasta Pintal menjadi nama yang sinonim dengan pasta segar berkualiti," katanya penuh tekad.
Pasta Pintal kini aktif dalam memasarkan produk melalui laman Instagram dan TikTok, selain memanfaatkan platform digital untuk membina jenama tersendiri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram