WALAUPUN Celest Thoi memulakan perniagaan busana perkahwinan sejak 2004, jenama baharunya, Coterie by Celest Thoi, hanya diperkenalkan semasa kemuncak pandemik Covid-19, sekali gus membuktikan kreativiti dan ketahanan wanita itu dalam industri fesyen.
Pada 2020 ujarnya, dia dan pasukan sibuk menjahit pakaian perlindungan diri (PPE) untuk keperluan petugas kesihatan.
"Melihat akaun perniagaan busana perkahwinan yang semakin menyusut, kami terpaksa mengubah haluan.
BACA LAGI: Ketepi rasa malu, bekas 'cleaner' hospital tawar servis cucian cermin profesional sekitar Johor

Peralihan daripada gaun perkahwinan ke pakaian harian serba putih memberikan kepuasan berbeza kepada Celest.
"Kami meninggalkan lokasi di The Gardens Mall pada 2021 kerana tiada sambutan untuk majlis perkahwinan, acara mahupun pesta,” katanya.
Ketika permintaan untuk gaun perkahwinan dan acara merosot, Celest menyedari potensi trend pakaian kasual ketika menghadiri mesyuarat secara dalam talian pada ketika itu mula meningkat.
Jelasnya, disebabkan penggunaan perkhidmatan dalam talian, Zoom turut menunjukkan peningkatan, usahawan itu terfikir untuk mereka kemeja putih khusus bagi tujuan tersebut.
Apatah lagi Celest secara peribadinya memang gemar mengenakan pakaian berona putih.
"Saya sudah lama ingin mencipta rangkaian kemeja putih, tetapi kesibukan dalam perniagaan busana perkahwinan menghalang saya untuk melaksanakannya,” ujarnya.
Jenama Coterie juga didorong oleh rakan-rakannya yang sering memuji pakaian rekaannya dan meminta wanita itu menghasilkan pakaian tersebut dalam saiz mereka.
Peralihan daripada gaun perkahwinan ke pakaian harian serba putih memberikan kepuasan berbeza kepada Celest.

Celest sememangnya gemar mengenakan pakaian berona putih.
“Saya gembira dapat memberikan gaya kepada pelbagai individu, terutama mereka yang menghargai reka bentuk dan gaya kami,” tambahnya.
Dilahirkan di Singapura, Celest menunjukkan minat mendalam terhadap seni menjahit sejak dari kecil.
Dia pernah membuat pakaian untuk anak patung adik-adiknya menggunakan lebihan kain yang dimiliki ibunya.
“Ayah saya seorang tukang kebun landskap, manakala ibu pula suri rumah yang menjahit pakaian untuk kami bertiga setiap kali ada acara istimewa,” katanya.
Namun, atas kebimbangan terhadap kestabilan kewangan, ibu bapa Celest menggalakkannya mengambil jurusan reka bentuk grafik di Nanyang Academy of Fine Arts.
Selepas bekerja sebagai pereka grafik di Singapura, Celest berpindah ke Melbourne sehingga ditakdirkan bertemu suaminya, James Tee.
Pada 2004, Thoi memulakan langkahnya dalam dunia fesyen apabila dia tidak dapat menemui gaun perkahwinan yang sesuai untuk dirinya sendiri di Auckland, New Zealand.
“Saya memutuskan untuk mereka gaun saya sendiri dan membantu rakan-rakan lain untuk majlis perkahwinan mereka. Saya kemudian jatuh cinta dengan keseluruhan proses ini,” kongsi Celest.
Selepas berpindah ke Kuala Lumpur pada 2009 atas permintaan keluarga suaminya, Celest membuka butik pertamanya di Malaysia.

Celest memulakan langkah dalam dunia fesyen apabila tidak dapat menemui gaun perkahwinan yang sesuai buat dirinya sendiri di Auckland.
Salah satu cabaran terbesar yang dihadapi Celest ialah persepsi bahawa jenama luar negara lebih unggul berbanding jenama tempatan.
“Pereka Asia sering dianggap kurang menonjol melainkan kita mencipta jenama di luar negara dan membawanya kembali ke negara asal.
"Jika penduduk tempatan sendiri tidak menyokong jenama tempatan, bagaimana orang luar akan menyokong kita?” soalnya.
Melalui usaha gigih di pentas fesyen seperti Mercedes-Benz Fashion Week Kuala Lumpur (MBFWKL), Celest membuktikan bahawa pereka tempatan mampu menghasilkan rekaan yang setanding jenama antarabangsa.
“Kami mahu menunjukkan bahawa praktikaliti dan seni boleh digabungkan untuk mencipta rekaan yang indah dan mudah dipakai,” tambahnya.
Selain komitmen kepada dunia fesyen, Celest juga memastikan keseimbangan dalam kehidupannya dengan aktiviti harian seperti yoga, tenis, pickle ball dan mendaki gunung bersama suami.
Kini, usahawan itu terus fokus membangunkan jenama Coterie sambil terus memenuhi permintaan untuk gaun perkahwinan dan acara khas.
“Saya merasai kepuasan apabila melihat pelanggan kelihatan menawan dalam rekaan saya, terutama pada hari bersejarah mereka,” katanya penuh rasa syukur. — The Star/NASA MARIA ENTABAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
