KONSEP slow beauty kini semakin mendapat perhatian dalam dunia kecantikan dan penjagaan kulit malah ramai yang mulai menjadikannya sebagai gaya hidup, bukan sekadar trend sementara.
Pendekatan itu menggalakkan pengguna untuk menghargai masa, kesabaran dan niat dalam rutin kecantikan, berbanding mengikuti trend pantas dan kepuasan segera.
Ketua Pegawai Eksekutif W&L Asia Sdn Bhd, William Wong berkata, sebagai falsafah penjagaan kulit yang menyeluruh, slow beauty mengajak pengguna untuk berhenti sejenak, memberi keutamaan kepada penjagaan diri dan mempertimbangkan kesan produk kecantikan terhadap alam sekitar dan masyarakat.
“Ia menggalakkan kita memahami cerita di sebalik produk yang digunakan,” katanya yang memiliki jenama tempatan E’lioe.
Turut senada, pengasas bersama jenama Re:Erth, Winnie Lim berkata, falsafah tersebut seiring dengan inspirasi minimalisme Jepun, yang memberi tumpuan kepada kesederhanaan, keseimbangan dan penjagaan proses semula jadi kulit.
Ujarnya, pendekatan mereka mencerminkan falsafah Mottainai (menentang pembaziran) dan Danshari (amalan merapikan).
"Dengan menyederhanakan rutin, kami menjadikan penjagaan kulit sebagai ritual penuh kesedaran yang meraikan kesejahteraan,” jelasnya.
Bagi pengasas bersama jenama Botrem, Tengku Zainal Abidin pula berpendapat, penggunaan bahan semula jadi dan kesedaran pengguna juga menjadi tunjang utama jenama yang selaras dengan slow beauty.
"Konsep itu memerlukan masa untuk memahami keperluan kulit dan memilih bahan yang memberi kesan positif tanpa mengorbankan kelembutan,” katanya.
Jenama yang mengamalkan pendekatan kecantikan secara perlahan menawarkan penyelesaian rutin penjagaan kulit minimalis dan semula jadi. — E'lioe
Keberkesanan jangka panjang
Jenama yang mengamalkan pendekatan ini memberi tumpuan kepada manfaat jangka panjang berbanding penyelesaian segera.
Contohnya, E’lioe menawarkan sabun bar yang diperbuat daripada empat bahan semula jadi dan diperam selama sembilan bulan.
“Penjagaan kulit yang lestari mempromosikan penambahbaikan secara beransur-ansur, berbanding penyelesaian segera yang mungkin merosakkan proses semula jadi tubuh,” jelas William.
Produk slow beauty direka untuk memberikan pelbagai manfaat, mengurangkan keperluan rutin yang kompleks dan mahal.
“Bagi keadaan kulit ringan, satu pembersih atau produk hidrogel mungkin mencukupi, tetapi untuk keadaan lebih serius, kombinasi gel dan losen menawarkan penjagaan lebih menyeluruh,” tambah Tengku Zainal.
Cabaran mengimbangi kelestarian
Walaupun falsafah berkenaan menjanjikan banyak kelebihan, ia tidak terlepas daripada cabaran.
Menurut William, pembungkusan boleh diisi semula sering memerlukan penggunaan bahan tambahan, yang boleh meningkatkan pembaziran jika tidak dikendalikan dengan betul.
Dia turut menegaskan, mendapatkan bahan mentah semula jadi yang berkualiti tinggi sering melibatkan kos tinggi.
“Penuaian lestari dan bahan organik datang dengan harga premium, menjadikannya cabaran untuk mengekalkan harga mampu milik sambil menjamin keuntungan perniagaan,” katanya.
Namun, jenama seperti Re:Erth terus berusaha mengurangkan pembaziran dengan menggunakan sistem pengeluaran 'Just-In-Time' (JIT) untuk memastikan kuantiti mencukupi tanpa berlebihan.
“Kami juga melabur dalam pendidikan pengguna, membantu mereka memahami falsafah dan manfaat jangka panjang produk kami,” tambah Winnie.
Mengamalkan slow beauty bermaksud mengelakkan daripada kerap menukar produk. — Re:Erth
Masa depan slow beauty
Industri kecantikan yang sangat kompetitif sering menghasilkan produk baharu serupa tetapi dipasarkan untuk keperluan yang kabur.
Ini membawa pada pembaziran sumber dan perbelanjaan yang tidak perlu. Pergerakan slow beauty berusaha memecahkan kitaran ini dengan mengutamakan komunikasi yang jelas dan produk yang tahan lama.
“Produk kecantikan perlahan boleh berkembang daripada formulasi sedia ada, meningkatkan langkah kelestarian dalam pembungkusan atau menawarkan produk pelengkap yang sejajar dengan etos jenama,” jelas William.
Sebagai kesimpulan, slow beauty menggalakkan pilihan yang lebih sedar dan konsisten, menghasilkan kulit yang sihat dan berseri, sambil menyumbang kepada gaya hidup yang lebih seimbang dan lestari.
Jenama dan pengguna kini sama-sama menyedari bahawa pendekatan yang lebih perlahan dan bertujuan dalam penjagaan kulit boleh membawa manfaat jangka panjang, baik untuk individu mahupun alam sekitar. — The Star/NASA MARIA ENTABAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram