MENJALANKAN perniagaan aiskrim goyang memberiksan satu kepuasan buat suri rumah berasal dari Bagan Datuk, Perak, Nor Azlina Omar.
Akui Nor Azlina, sebelum ini masanya lebih banyak difokuskan kepada urusan penjagaan suami, anak-anak dan perihal rumah yang lain.
Namun apabila anak-anak semakin menginjak usia, usahawan berusia 51 tahun itu mula menginginkan satu pembaharuan dalam kehidupannya.
Aiskrim goyang dibuat menggunakan mesin manual yang memerlukan teknik khas untuk memastikan hasil sempurna.
Bermula lebih 10 tahun lalu, Nor Azlina mencuba pelbagai jenis jualan seperti baju kurung terpakai dan kuih-muih untuk dijual di pasar malam sekitar Ipoh, sebelum menemui keistimewaan dalam perniagaan aiskrim goyang.
"Aiskrim goyang ini diperkenalkan oleh adik saya pada 2015, dan selepas mencuba, hidangan pencuci mulut tersebut ternyata menjadi pilihan terbaik disebabkan margin keuntungan yang tinggi serta proses pembuatan yang unik tetapi praktikal.
"Modal permulaan untuk perniagaan ini juga cukup berpatutan. Dengan RM700 hingga RM750 bagi satu set mesin dan kos bahan seperti ais batu, garam dan perisa, bisnes ini boleh dimulakan dengan mudah," katanya kepada Majoriti.
Bercerita lanjut, Nor Azlina memberitahu, aiskrim goyang dibuat menggunakan mesin manual yang memerlukan teknik khas untuk memastikan hasil sempurna.
Antara perisa aiskrim goyang yang
Jelasnya, mesin tersebut menggunakan campuran air batu, garam dan ais untuk menghasilkan aiskrim.
"Memang nampak mudah tetapi teknik mengeluarkan aiskrim daripada acuan dengan betul adalah kunci untuk memastikan produk tidak menjadi masin akibat air garam yang menitik.
"Saya memulakan perniagaan di pasar malam sekitar Ipoh dengan menawarkan 12 perisa antaranya susu, coklat, oren, laici dan anggur," ujarnya yang menjual aikrim goyang pada harga RM1 hingga RM1.50 setiap batang, bergantung pada perisa dan lapisan.
Selain pasar malam, ibu kepada lima anak ini turut mengambil tempahan untuk pakej majlis tertentu seperti akikah, pertunangan, perkahwinan dan juga hari sukan sekolah.
Dia bagaimanapun mengakui, nilai jualan yang diperoleh adakalanya tidak menentu, namun kebiasaannya jualan termasuk di pasar malam dan tempahan majlis dianggarkn mencecah lebih RM1,000.
"Walaupun tidak besar, hasil ini cukup memadai untuk saya memperoleh duit poket sendiri," katanya yang kini menetap di Klebang, Chemor, Ipoh, Perak.
Nor Azlina turut mengambil tempahan aiskrim goyang di majlis tertentu.
Bercerita tentang persaingan, Nor Azlina berkata, Ipoh kini menjadi lokasi strategik bagi perniagaan aiskrim goyang, tetapi persaingannya masih terkawal.
"Setahu saya, jumlah penjual aiskrim goyang di Ipoh tidak begitu ramai, meskipun permintaan terhadap aiskrim unik ini semakin meningkat.
“Kalau cari betul-betul, memang ada beberapa peniaga cuma tidaklah seramai yang menjual aiskrim kon dan sebagainya,” katanya.
Aiskrim goyang mendapat permintaan menggalakkan untuk dihidangkan sebagai salah satu pencuci mulut dalam sesebuah majlis.
Kembangkan bisnes luar Perak
Kongsi Nor Azlina lagi, dia bersyukur anak-anaknya sering turun padang dan membantu melancarkan operasi perniagaan, terutama semasa tempahan majlis tertentu.
Lebih membanggakan, perniagaan aiskrim goyang milik anak kedua daripada sembilan beradik itu kini tidak terhad kepada kawasan Ipoh sahaja.
Tempahan dari luar negeri seperti di Dengkil, Shah Alam, Selangor; Kuala Lumpur dan Pulau Pinang membuktikan produk tersebut mempunyai potensi untuk berkembang lebih jauh.
Walaupun promosi lebih banyak dilakukan melalui laman Facebook di akaun Aiskrim goyang SHANA SHADA, usahawan ini merancang untuk memperluas pemasaran melalui platform lain seperti TikTok.
Melalui dedikasi dan usaha gigih, Nor Azlina membuktikan bahawa perniagaan kecil seperti aiskrim goyang mampu memberikan impak besar kepada kehidupan seorang suri rumah sepertinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram