SIASATAN berhubung insiden sekumpulan individu berbaju putih yang berzikir dalam keadaan mencurigakan di Tanah Perkuburan Islam (TPI) Taman Ibukota, Setapak, Kuala Lumpur diselesaikan oleh pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Pengarahnya, Hanifuddin Roslan berkata, pihaknya juga sudah mengambil keterangan pengadu, waris dan pelaku yang terlibat seperti diarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Hanifuddin berkata, JAWI juga merujuk isu tersebut kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk mendapatkan pandangan dari sudut hukum syarak.
"Tindakan yang bersesuaian akan diambil berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
"Umat Islam di negara ini dinasihatkan agar mengelak daripada melakukan amalan yang boleh mencetuskan kontroversi dalam kalangan masyarakat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, tular video berdurasi 23 saat yang menunjukkan sekumpulan individu berzikir secara kuat dan pelik di tanah perkuburan di Danau Kota, Setapak.
Perkara itu menimbulkan kebimbangan orang ramai khususnya dalam kalangan masyarakat beragama Islam.
Pada hari sama, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Polis Mohamad Lazim Ismail mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram