PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak orang ramai supaya mengimbau kembali 2024 yang boleh dikategorikan sebagai tahun mukadimah selain pembuka kepada agenda pembaharuan nasional bagi negara.
Dalam ucapannya sempena Amanat Tahun Baharu 2025, beliau menegaskan bahawa kerajaan sudah menggerakkan usaha menjelmakan anjakan baharu sepanjang tahun ini, khususnya dalam memenuhi kerangka Ekonomi Madani yang diluncurkan pada 27 Julai 2023.
Jadi, bagi mencapai hasrat membentuk semula negara sebagai peneraju ekonomi rantau Asia, Anwar memahami tidak semua keputusan dan kebajikan kerajaan popular atau segera membuahkan hasil.
BACA LAGI: Lebih ramai terima STR, kadar maksimum isi rumah meningkat kepada RM4,600
BACA LAGI: Hampir separuh peminjam PTPTN belum buat pembayaran balik terima bantuan STR — Zambry
Anwar mengumumkan peningkatan jumlah STR dalam Amanat Tahun Baharu 2025.
Beliau berkata, antara usaha dijayakan kerajaan bagi 2024 adalah penyasaran subsidi diesel serta tarif elektrik yang digerakkan, bertujuan menutup ketirisan sekian lama disebabkan subsidi pukal yang disalurkan kepada pihak paling kaya serta tiga juta warga asing tidak layak.
Selain itu, katanya, peruntukan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bagi 2024 ditambah RM10 bilion yang akan menjadikannya jumlah terbesar dalam sejarah.
“Selain menambah jumlah bantuan saban tahun, kerajaan juga giat menangani gejala fenomena kenaikan kos kerana kos sara hidup ditangani melalui penganjuran Program Payung Rahmah di seluruh negara.
“Pasukan pemantau digerakkan dengan aktif untuk memerhati, memantau dan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang mencatut harga dengan sewenang-wenangnya,” katanya.
Bantuan STR akan meringankan beban orang ramai dalam keadaan ekonomi ketika ini.
Anwar menjelaskan bahawa keadaan ekonomi semasa harus ditangani dengan bijak kerana ia juga membabitkan apa belum diduga yang berlaku separah ini, iaitu seperti musibah banjir di beberapa negeri mutakhir ini.
Untuk itu, kata beliau, kerajaan sudah memberi jaminan segala usaha akan terus dijalankan di semua negeri bagi memastikan bantuan segera tiba, sementara kerja pemulihan dan bantuan secepat mungkin dapat diselenggara semua agensi pusat dengan kerjasama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan atau jajahan.
“Operasi kesiapsiagaan sejak awal sudah dirangka secara mampan supaya dapat mengelak dari dampak yang buruk daripada musibah itu. Kita akan mampu mengharungi dan melindungi lebih banyak nyawa dari terkorban atau harta benda yang rosak.
“Mengenai perbelanjaan pembangunan negara, selain tumpuan diberi kepada prasarana asas seperti jalan raya, lebuh raya dan bekalan, adalah dengan meneruskan projek tebatan banjir di kawasan berisiko tinggi biarpun akan memberikan kesan dan dampak perbelanjaan tinggi,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram