Pesawat berpatah balik lepas lebih 3 jam di udara, exco Johor kongsi penerbangan mendebarkan


  • Primer
  • Selasa, 31 Dis 2024

Mohd Fared (kiri) bersama bersama Nooh Gadut (kanan) dan Khairin Nisa (tengah) terpaksa berpatah balik ke Bahrain. — Facebook Mohd Fared

SEJAK kebelakangan ini, semakin banyak kejadian dan tragedi melibatkan kapal terbang di beberapa negara yang menyayat hati rakyat di seluruh dunia.

Terbaharu, Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid tidak terlepas untuk berkongsi pengalamannya apabila berdepan dengan situasi cemas ketika menaiki kapal terbang.

Mohd Fared berkata, pesawat yang dinaikinya bersama delegasi Johor dari Bahrain terpaksa berpatah balik.

BACA LAGI: [VIDEO] Misteri mayat tanpa identiti, terapung lebih 24 jam dalam takungan air Dataran Seremban

BACA LAGI: Terkandas banjir, 4 calon SPM sanggup redah naik bot bomba ke sekolah di Beluran

472233988_1991641328000670_7991260617528366623_n

Mohd Fared (kanan) bersama delegasi Johor yang dijadualkan waktu baharu untuk pulang ke Malaysia. — Facebook Mohd Fared

Katanya, insiden tersebut berlaku selepas pesawat itu berlepas dan berada di udara lebih tiga jam akibat masalah teknikal.

"Penerbangan kami dari Bahrin (transit) terpaksa berpatah balik akibat masalah teknikal pesawat setelah lebih tiga jam di udara.

"Saya bersama Datuk Dr Noh Gadut dan Khairin Nisa Ismail serta delegasi Johor selamat mendarat semula di Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain.

"Penerbangan kami selanjutnya dijadualkan pukul 7:30 pagi waktu Bahrain (12:30 tengah hari waktu Malaysia)," tulisnya di Facebook pada Selasa.

Mohd Fared bagaimanapun bersyukur dapat mendarat dengan selamat tanpa sebarang kemalangan pada waktu itu.

"Allahuakbar, berderau juga tadi masa kapten buat pengumuman di udara, tetapi tenang kaptennya siap minta maaf atas kesulitan.

"Syukur semuanya baik-baik belaka. Semua penumpang diberikan kupon makanan oleh pihak penerbangan sebagai tanda maaf dan hospitaliti mereka atas isu teknikal yang berlaku," tambahnya.

Dalam pada itu, beliau bersama delegasi Johor bertolak ke Turkiye dan Jordan bagi lawatan kerja pada 23 Disember lalu.

Selain bertemu pelajar Johor yang menuntut di kedua-dua negara terbabit, mereka juga terlibat dalam perasmian pelaksanaan Fasa Kedua Misi Bantuan Kasih Johor-Palestin 2.0 yang dilancarkan di Amman, Jordan.

Fasa itu memfokuskan penghantaran bantuan penting kepada rakyat Palestin melalui laluan darat, sebagai usaha berterusan membantu mereka yang terjejas akibat konflik berpanjangan.

Pasukan Operasi Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) yang diketuai Izzat Zabir memberi taklimat terperinci kepada delegasi Exco Negeri Johor.

Taklimat itu turut dihadiri wakil Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), serta Setiausaha Pertama Kedutaan Malaysia di Jordan, Nur Najiha.

Inisiatif itu merupakan manifestasi solidariti dan kasih Johor terhadap rakyat Palestin.

Dengan sokongan rakyat Malaysia, misi itu diharapkan dapat memberikan impak positif kepada mereka yang memerlukan.

Presiden MAHAR, Jismi Johari pada masa sama menekankan kepentingan pelaksanaan misi tersebut.

Beliau berkata, pelaksanaan itu adalah bukti keprihatinan dan komitmen rakyat Malaysia khususnya rakyat Johor yang sentiasa menyokong dan membantu rakyat Palestin.

Setiap pek bantuan yang dihantar bukan sahaja membawa keperluan fizikal seperti makanan dan khemah, tetapi juga simbol sokongan moral dan harapan.

Fasa kedua misi itu turut melibatkan penghantaran pek makanan, barangan keperluan bayi, barang keperluan keluarga dan khemah pelarian. Bantuan tersebut akan dihantar melalui laluan darat dari Jordan ke Gaza dengan matlamat untuk membantu mereka yang paling memerlukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram