Jalan Masjid India dibuka semula lepas insiden lubang benam


  • Primer
  • Selasa, 31 Dis 2024

Maimunah (berbaju ungu) ketika membuat tinjauan di Jalan Masjid India selepas ia dibuka kepada orang ramai.

SELEPAS kira-kira lima bulan insiden lubang benam di Jalan Masjid India, lokasi pelancongan itu akhirnya dibuka kepada orang ramai.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata, kerja-kerja memperbaiki dan memulihara di lorong berkenaan akan diselesaikan dua bulan lebih awal daripada tempoh ditetapkan awal.

"Segala proses baik pulih dibuat untuk memberi laluan kepada pembukaan semula peluang perniagaan pada musim perayaan terdekat," katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di Jalan Masjid India pada Selasa.

BACA LAGI: Banjir kilat bukan punca lubang benam di Jalan Masjid India — Dr Zaliha

BACA LAGI: Jalan Masjid India masih selamat, peniaga boleh terus beroperasi — Datuk Bandar KL

2963277

Pihak berkuasa perlu mengorek tanah di Jalan Masjid India bagi mencari mangsa.

Dia juga berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang melengkapkan Laporan Akhir Insiden Lubang Benam dikendalikan pasukan petugas khas yang ditubuhkan berikutan insiden tersebut.

Maimunah turut menjelaskan pasukan petugas itu terdiri daripada Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Kerja Raya (Cawangan Kejuruteraan Geoteknik), Institut Jurutera Malaysia, Persatuan Geoteknik Malaysia dan agensi lain.

Tambahnya, ia ditubuhkan untuk menilai struktur tanah, memberi cadangan teknikal, menyelaraskan agensi terlibat dan menangani persepsi negatif yang timbul berikutan insiden itu.

"Badan khas itu sudah bermesyuarat lebih lima kali sejak kejadian tersebut. Mesyuarat terbaharu pada 8 Disember adalah untuk membincangkan laporan akhir yang akan dibentangkan kepada Kabinet untuk kelulusan awal tahun depan sebelum dikeluarkan secara terbuka," katanya.

Tambah beliau, DBKL sudah menjalankan empat ujian kaji tanah dalam di sekitar Jalan Masjid India bagi menentukan profil tanah di kawasan itu.

The sink hole found about 50m away from the first incident .—LOW BOON TAT/The Star.

Tempoh lima bulan diperlukan untuk memperbaiki jalan di lokasi kejadian.

"Selain itu, DBKL juga membaiki laluan pejalan kaki di lokasi kejadian dan menaik taraf saliran di sekitar Wisma Melayu dan Jalan Masjid India.

"Indah Water Konsortium juga membaiki saluran kumbahan yang rosak manakala syarikat utiliti dan telekomunikasi yang berkaitan telah membaiki aset mereka di kawasan itu," tambah Maimunah.

Beliau turut berkata, tinjauan berkala akan diteruskan di lokasi berkenaan dengan seluruh agensi sekitar KL bekerjasama bersama syarikat terlibat.

Maimunah menjelaskan bahawa pasukan khas tersebut akan meneruskan operasi ditetapkan selepas pembukaan semula dengan dana RM10 juta diperuntukkan kerajaan persekutuan.

“Peruntukan itu akan digunakan untuk penyelidikan geoteknikal dan pemetaan utiliti di pusat-pusat komersial bandar raya ini bagi mengelak kejadian serupa berulang,” katanya.

Tragedi yang berlaku pada 23 Ogos itu menyaksikan Vijaya Lakshmi yang merupakan seorang wanita berusia 48 tahun dari India terjatuh ke dalam lubang benam yang tiba-tiba muncul di Jalan Masjid India.

Mangsa kemudiannya tidak dapat dikesan selepas sembilan hari operasi mencari dan menyelamat. — The Star/LEW GUAN XI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram