[VIDEO] 'Terima kasih Anney', semangat mudah hulur bantuan tanpa mengira bangsa, abang lori terlibat nahas di Labis diselamatkan orang baik


  • Tular
  • Rabu, 01 Jan 2025

Tangkap layar memaparkan keadaan orang awam membantu pemandu lori keluar dari lori tersebut.

TINDAKAN pantas orang awam menghulurkan bantuan kepada pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan meskipun sudah lebih dua bulan berlalu masih meraih perhatian warga maya.

Kejadian yang berlaku di Labis, Johor pada 2 November lalu itu sempat dirakam pemandu berkenaan sebelum dikongsikan menerusi aplikasi TikTok iskandar_zul90 pada keesokan harinya.

Difahamkan, kemalangan itu berlaku selepas lori dipandu lelaki berkenaan dilanggar sebuah lori balak yang masuk ke lorongnya secara tiba-tiba.

BACA LAGI: [VIDEO] Bot berlanggar punca pergaduhan, polis siasat 2 individu 'bergusti' di jeti Semporna

BACA LAGI: Polis terima laporan penemuan baharu bangkai kucing, anjing di UM

Berdasarkan perkongsian video tersebut, mangsa dikatakan berada dalam keadaan terkejut dan terpaksa menahan sakit disebabkan kakinya yang tersepit.

Kemalangan itu menyebabkan orang awam termasuk beberapa lelaki berbangsa India bergegas menghampiri mangsa untuk cuba mengeluarkannya dari kenderaan itu, secara perlahan-lahan.

Lelaki tersebut turut menenangkan mangsa untuk mengelakkan sebarang perkara tidak diingini daripada berlaku.

"Tidak mengapa, you (awak) jangan kelam kabut, relaks saja ya, okay cun!" katanya sambil mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit dengan berhati-hati.

Mangsa menerusi hantaran di TikTok miliknya meluahkan kesyukuran atas bantuan yang dihulurkan kepadanya.

"Alhamdulillah diberikan peluang untuk bernafas. Ada insan baik datang membantu dan tenangkan saya. Bergetar satu badan," katanya menerusi hantaran di TikTok pada 3 November lalu.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya menyuarakan rasa terharu selepas melihat insiden berkenaan.

Malah ramai yang menyifatkan kebanyakan masyarakat kaum India sememangnya sering menghulurkan bantuan kepada orang lain tanpa mengira bangsa dan agama.

"Muka saja macam gengster tapi hati baik, terima kasih Anney'," tulis Luka.

"Ini salah satu (sebab) aku suka berkawan dengan orang India," kata STONGKOL.

"Saya ada ramai kawan (berbangsa) India, (kalau) minta tolong mesti sampai," ujar Mohamad Zakry.Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram