[VIDEO] Berubah total 360 darjah, bekas usahawan kosmetik kini cukup diyakini 'wrapping' kereta berkuasa tinggi


  • Bizz
  • Selasa, 10 Dis 2024

Kecekalan Mohd Hafez untuk membina empayar perniagaan sendiri menjadikan Fizbo kini muncul sebagai antara jenama pilihan warga kota.

TREND membalut kereta (car wrapping) semakin mendapat perhatian ramai pemilik kenderaan terutama dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Bagi Mohd Hafez Kaply, meskipun memulakan bisnes tanpa asas dalam industri pembalutan kereta, kecekalannya untuk membina empayar perniagaan hasil titik peluh sendiri menjadikan Fizbo Wrapping Specialist (Fizbo) kini muncul sebagai antara jenama pilihan warga kota.

Usahawan berusia 36 tahun itu menubuhkan premis pertama di Seksyen 16 Shah Alam, Selangor pada 2021, dalam tempoh negara masih menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak Covid-19.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Customer' sampai nak buat menantu, penangan cucur kembung gadis persis Ummi Nazeera pikat hati pelanggan

BACA LAGI: Gabung piza dan kopi 'culture', 4 usahawan muda ada rahsia pilih doh NY, sasar buka 108 cawangan Mokky’s

Untitled design (57)

Permintaan terhadap balutan 'custom' menunjukkan peningkatan dalam kalangan pelanggan.

Dengan bantuan kenalan yang memiliki kemahiran dalam kerja-kerja pembalutan kereta, dia memutuskan untuk terjun daripada bidang kosmetik ke aktiviti solekan kereta.

"Saya bermula tanpa pengalaman tentang kepakaran servis balutan kereta. Saya fikir daripada duit modal niaga habis begitu sahaja, lebih baik saya buka kedai.

"Saya memperoleh inspirasi untuk menubuhkan Fizbo selepas melihat seorang rakan yang menjalankan perniagaan balutan kereta di rumahnya. Dia banyak membantu dari segi penyediaan bahan dan ubah suai kedai.

"Pada awalnya, perniagaan ini hanyalah usaha untuk menampung keperluan ketika PKP. Namun tidak disangka, sambutan yang diterima amat menggalakkan sehingga mampu berkembang ke tahap sekarang," katanya kepada Majoriti.

@fizbo.wrappingspecialist Main hujan pon nampak cantik ada yg nk buat lg ke tuu #fizbowrappingspecialist #fizbogarage #mercedes ♬ Sedekahku di Suatu Masa - tigacoffee

Pengalaman berkenalan dengan ramai pempengaruh sewaktu menjual kosmetik selama hampir lima tahun sejak 2015, menjadi kelebihan besar apabila golongan tersebut bersedia membantu mempromosikan bisnes milik Mohd Hafez menerusi video dan testimoni yang dimuat naik di media sosial.

Pada mulanya, akui lelaki kelahiran Klang, Selangor ini, kegiatan membalut kereta menggunakan pelekat vinil tidak dianggap sebagai satu trend yang berpanjangan.

"Ketika itu, orang hanya fikir balut kereta ini sekadar trend sementara dan kurang ramai yang mengambil serius dalam industri tersebut.

"Namun, saya ingin mulakan trend baharu dalam industri ini dan tunjukkan kepada orang ramai bahawa wrapping kereta bukan sekadar trend, tetapi satu cara untuk memberi identiti dan nilai estetik pada kenderaan," jelasnya lagi.

Testimoni pempengaruh

Bermula dengan strategi pemasaran yang unik, bapa tiga anak itu berjaya menarik perhatian ramai pelanggan tanpa perlu berbelanja besar untuk iklan.

"Saya meminta beberapa kenalan dan pempengaruh yang dikenali untuk menghantar kereta mereka dan memberi testimoni tentang perkhidmatan saya.

"Dengan cara ini, saya meminta mereka untuk membuat video mengenai pengalaman setelah kereta siap dibalut. Ia sekali gus menjadi kaedah pemasaran percuma yang sangat berkesan.

"Testimoni mereka membantu saya dalam memperkenalkan perkhidmatan balutan kereta," tambahnya yang mengambil masa dua hingga tiga hari untuk membalut satu kereta.

Ditanya mengenai tawaran harga pula, jelas Mohd Hafez, harga untuk balutan kereta bergantung pada material dan jenis warna yang dipilih pelanggan.

Ujarnya, jika pelanggan memilih warna lebih kompleks atau menggunakan lebih dari tiga hingga empat warna, harga akan lebih tinggi.

"Untuk wrapping satu warna, harga biasanya dianggarkan sekitar RM2,500 hingga RM3,500," jelasnya yang memiliki dua cawangan Fizbo di Shah Alam.

WhatsApp Image 2024-12-06 at 22.12.24

Mohd Hafez bergambar di hadapan premis yang beroperasi di Seksyen 16, Shah Alam.

Custom-made

Melihat kepada trend terkini, kongsi Mohd Hafez, permintaan terhadap balutan custom menunjukkan peningkatan dalam kalangan pelanggan, dengan harga bergantung pada jenis kereta, rekaan dan material yang digunakan.

"Contohnya, saya pernah menjalankan projek custom wrapping untuk sebuah Mercedes-Benz G63 dengan harga lebih RM7,000.

"Untuk sekarang mereka lebih suka tempah secara custom, sekali gus menyebabkan kami akan lebih kerap berinovasi untuk memenuhi kehendak pelanggan.

"Malah ramai juga pelanggan yang memilih rekaan dengan dua warna atau lebih untuk memberikan kesan lebih menarik dan moden," ujarnya yang pernah menuntut ilmu dengan seorang ahli perniagaan di Pulai Pinang.

Kongsi anak pertama daripada tiga beradik ini, Fizbo kini menjadi antara jenama pertama yang dipercayai dengan menawarkan reka bentuk terbaharu, menggunakan rekaan custom untuk tampak lebih eksklusif.

Kebanyakan pelekat yang digunakan dalam aktiviti pembalutan kereta diperoleh secara langsung dari kilang di Malaysia dan juga luar negara.

"Selain balutan dengan pilihan lebih 200 warna, kami turut menawarkan perkhidmatan lain seperti pemasangan bahagian badan kenderaan tertentu," katanya yang memulakan bisnes itu dengan modal sekitar RM50,000 hingga RM60,000.

Menurutnya lagi, jualan balutan kereta semakin meningkat sepanjang tahun, terutama pada musim perayaan seperti Tahun Baharu, Hari Raya dan juga cuti hujung tahun.

Ujar usahawan itu, jualan boleh mencapai 15 hingga 18 kereta pada bulan biasa, namun semasa musim perayaan atau cuti, jualan boleh melonjak antara 25 hingga 30 kereta sebulan.

WhatsApp Image 2024-12-06 at 19.20.16

"Kebanyakan pelanggan setia biasanya akan menukar warna kereta mereka setahun sekali dan itu memberi permintaan yang stabil sepanjang tahun.

"Secara purata, perniagaan ini mampu menjana jualan mencecah anggaran RM50,000 hingga RM80,000 sebulan," tuturnya yang pernah menerima jualan RM120,000 sebulan sepanjang musim perayaan pada tahun lalu.

Bicara pemilik perniagaan ini, jenamanya mengamalkan pendekatan lebih teliti dengan membuka keseluruhan badan kereta agar proses pembalutan terhasil dengan lebih kemas dan sempurna, sesuai permintaan.

Pendekatan itu akuinya, berbeza dengan beberapa kedai lain yang hanya menampal lapisan tanpa membuka bahagian tertentu.

"Saya mahu buat kelainan, sebab itu saya tekankan kepada setiap penelitian. Kami bukan sekadar kedai biasa, tetapi boleh memberikan servis terbaik.

"Dengan fokus pada kualiti dan ketelitian, kebanyakan pelanggan yang menghantar kereta kepada kami juga adalah pemilik kereta berkuasa tinggi, yang sudah yakin dengan keupayaan perniagaan ini.

"Mereka percaya (dengan kami) atas rekomendasi daripada kawan-kawan yang sudah pernah menghantar kereta di sini. Kepercayaan itu sangat penting, terutama untuk kereta-kereta berkelas tinggi," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram