MAYAT seorang lelaki tanpa identiti ditemui dalam keadaan terapung di dalam kolam takungan air di Dataran Seremban berhampiran sebuah hotel di Jalan Dato' Bandar Tunggal, Negeri Sembilan pada Selasa.
Memetik laporan Kosmo, Komander Operasi, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd Nafi Wahid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada 11.22 pagi.
Beliau berkata, mayat mangsa berjaya dikeluarkan daripada kolam tersebut menggunakan tali, bagaimanapun identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti.
BACA LAGI: Terkandas banjir, 4 calon SPM sanggup redah naik bot bomba ke sekolah di Beluran
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din mengesahkan penemuan mayat tersebut yang ditemui tanpa kad pengenalan diri.
Menurutnya, hasil pemeriksaan pegawai penyiasat, anggota badan mangsa ditemui dalam keadaan menggelembung dan berair.
Pegawai perubatan Hospital Tuanku Ja’afar Seremban turut mengesahkan kematian mangsa dianggarkan lebih dari 24 jam.
Mayat mangsa bagaimanapun sudah diserahkan kepada pihak forensik polis untuk tindakan lanjut.
Setakat ini, tiada unsur jenayah dapat dikesan sehingga bedah siasat terhadap mayat mangsa selesai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram