Hilang tiada terganti sepanjang 2024, Jay Jay antara 5 figura hiburan pergi meninggalkan kita buat selamanya


  • Hiburan
  • Selasa, 31 Dis 2024

Allahyarham Jay Jay merupakan antara penyanyi popular tanah air yang meninggal dunia pada 2024.

TAHUN 2024 bakal melabuhkan tirainya selepas 1,001 kisah tercatat dalam sejarah yang pastinya menjadi rujukan pada masa akan datang.

Khabar gembira mahupun sedih, setiap yang berlaku berlatar belakangkan situasi berbeza yang sama sekali tidak dirancang malah, menjadi permulaan baharu buat individu terkesan.

Dunia hiburan tanah air juga tidak ketinggalan daripada menjadi sebahagian kisah suka duka tahun 2024 apabila negara kehilangan ramai insan seni berbakat yang banyak berbakti kepada industri tempatan.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Selangor top 3 paling tinggi', Altimet dedah terima gaji RM16,000 sebagai YB

BACA LAGI: Sedar tak sedar 2 dekad sudah tinggalkan dunia lakonan, Zahnita Wilson kini fokus bisnes 'Humble Pie' resipi istimewa mentua

Masa bagaikan terhenti apabila beberapa nama besar industri muzik negara disahkan meninggal dunia yang nyata dirasai ramai peminat serta penggiat seni tanah air.

Berikut merupakan lima penyanyi dan komposer tersohor tempatan yang telah pergi meninggalkan 1,001 kenangan dalam ingatan ramai:

jay jay

1. Jay Jay

Penyanyi otai, Jay Jay, 66, disahkan meninggal dunia di Hospital Thomson, Kota Damansara, Petaling Jaya, pada 4 Ogos lalu.

Berita pemergian Jay Jay atau nama sebenarnya, Mohd Fauzi Darus disahkan rakan karibnya, Datuk Hattan selepas dimaklumkan isteri Allahyarham yang dikenali sebagai Zaitoon.

Jelasnya, pemergian Allahyarham adalah disebabkan kegagalan fungsi pelbagai organ dalaman.

Terdahulu, pemuzik dan komposer terkenal itu dilapor menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) selepas terkena serangan jantung ringan dan sesak nafas ketika mahu menaiki bas dari Singapura ke Kuala Lumpur.

Antara lagu popular Allahyarham ialah Kau Yang Tersendiri, Keasingan Dalam Luka, Cukuplah Sekali dan pelbagai lagi karyanya yang cukup malar segar sepanjang zaman.

Populariti Jay Jay berada di kemuncak apabila dinobatkan sebagai Penyanyi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 1988.

S atan

2. S Atan

Maestro muzik, Datuk S Atan atau nama sebenar, Hashim Said, 75, meninggal dunia pada 16 November lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediamannya dekat Kajang, Selangor di samping keluarga tercinta.

Masyur di persada muzik tempatan, komposer legenda itu pernah menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat atas bakti dan sumbangannya dalam bidang penciptaan lagu dan khazanah muzik Melayu pada anugerah ABPBH ke-35.

Saban tahun, lagunya pasti dimainkan di corong radio menjelang tibanya hari raya antaranya adalah Balik Kampung, Menjelang Hari Raya, Dari Jauh Ku Pohon Maaf, Cahaya Aidilfitri, Indahnya Beraya Di Desa dan banyak lagi.

aspalela

3. Aspalela Abdullah

Penyanyi veteran, Aspalela Abdullah menghembus nafas terakhirnya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sekitar pukul 10 pagi pada 8 Disember lalu.

Allahyarham yang bakal genap usianya 80 tahun pada 30 Januari depan, dilaporkan terjatuh dalam bilik air di kediamannya dekat Taman Melati, Kuala Lumpur.

Allahyarham Aspalela difahamkan tidak mempunyai sebarang rekod kesihatan yang serius namun, pemergiannya dipercayai berpunca akibat penyakit keturunan daripada neneknya yang mempunyai masalah darah tinggi dan kolestrol tidak terkawal.

Selepas tidak lagi aktif menyanyi, Aspalela memberi tumpuan pada aktiviti marhaban dan bacaan Yasin bersama-sama Kumpulan Artis Wanita Malaysia (KAWAN).

TOP  nordin - 1

4. Nordin Jaafar

Bekas vokalis Kumpulan Raihan, Nordin Jaafar, 49, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Ulu Yam Bharu, Batang Kali, Selangor pada 21 Disember lalu.

Difahamkan, arwah menghidapi kencing manis dan sakit buah pinggang yang turut menjejaskan penglihatannya.

Allahyarham memulakan karier seninya dengan menganggotai kumpulan nasyid Alarm Me yang popular dengan lagu Bulan-Bulan Islam.

Pada 2006, arwah menyertai Raihan menggantikan vokalis utama Raihan, Nazrey Johani yang tampil dengan album solo.

2863785

5. Nidza Afham

Penyanyi Muhammad Nidza Afham Mokhtar disahkan meninggal dunia selepas mayatnya dijumpai di sekitar Sungai Klang, Selangor pada 14 Ogos lalu.

Namun, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan pihaknya tidak menemui sebarang unsur jenayah mengenai kes terbabit.

Allahyarham kali terakhir dilihat meninggalkan sebuah rumah di Jalan Kerongsang 4, Bandar Puteri, Klang, Selangor pada 13 Ogos sebelum ditemui meninggal dunia di Jambatan Kota, Klang kira-kira sehari selepas dilaporkan hilang.

Lagu Rindu Setengah Mati antara yang paling mencuri tumpuan dan meraih hampir tujuh juta tontonan di YouTube. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram