POLIS mengesyaki penemuan mayat reput di Banting, Selangor pada Sabtu dipercayai mempunyai kaitan dengan kehilangan remaja perempuan berusia 15 tahun di Kajang, Selangor sejak 19 Disember lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya kini menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengesahkan identiti mangsa.
Menurutnya, mayat berkenaan ditemui di Rancangan Tanah Baharu (RTB) Sungai Changgang dalam keadaan reput dan pengesahan secara fizikal tidak dapat dilakukan.
"Bagaimanapun kita percaya ia (mayat tersebut) ada kaitan tetapi perlu tunggu DNA dijangka diperoleh sehari dua ini. Bedah siasat telah dijalankan di Hospital Banting," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Xin Yuan dilaporkan hilang selepas menghadiri latihan tarian singa di gelanggang bola keranjang Batu 11, Cheras.
Pada 21 Disember lalu, polis memohon bantuan orang awam untuk mengesan remaja perempuan bernama Yap Xin Yuan yang hilang selepas menghadiri latihan tarian singa di gelanggang bola keranjang Batu 11, Cheras, pada 19 Disember lalu.
Mengulas lanjut, Hussein memaklumkan, polis sudah menahan tiga individu termasuk teman lelaki mangsa bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.
"Setakat ini, tiga suspek masing-masing berusia 16, 20 dan 51 tahun ditahan dan direman sehingga Ahad," katanya.
Sementara itu memetik laporan Berita Harian, keluarga kepada remaja berkenaan turut menyuarakan harapan agar penemuan mayat reput di Banting bukan mayat Xin Yuan.
Bapa saudara yang hanya mahu dikenali sebagai Tee dilaporkan berkata, keluarga anak saudaranya itu dimaklumkan oleh pihak polis berhubung penemuan mayat berkenaan.
"Keluarga kemudian diminta ke hospital untuk diambil darah bagi tujuan ujian DNA, kakak saya (ibu Xin Yuan) sudah serahkan darah untuk tujuan itu namun tidak diminta membuat pengecaman mayat," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram