Dulu harum manis kini durian, Duriotourism Mardi Kuala Kangsar beri peluang pengunjung nikmati 'Raja Buah'


  • Massa
  • Selasa, 31 Dis 2024

Ladang tanaman buah-buahan tropika seluas 100 hektar di Mardi Kuala Kangsar, Perak.

DIKENALI sebagai 'Raja Buah', durian sememangnya memiliki tempat istimewa di hati masyarakat Malaysia.

Dengan pelbagai variasi unggul yang menerima sambutan baik di dalam mahupun luar negeri, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) memainkan peranan penting perkembangan durian melalui penelitian, inovasi dan dukungan teknologi terkini.

Bercerita pula tentang perkembangan penanaman durian, Pengurus Ladang Mardi Kuala Kangsar, Mohammad 'Ammaruddin Mohamed Amin berkata, cawangan di Kuala Kangsar, Perak menjadi pusat tumpuan buah tersebut.

BACA LAGI: 'Kaji cerita seram sampai buru puntianak', bekas penulis Mastika dedah perjalanan sebagai pencandu buku

BACA LAGI: Berani bersuara, penduduk Venice Hill buktikan sikap ambil tahu penduduk berjaya 'lawan' caj MF melampau

6310054432913605964

Pelbagai jenis dan variasi durian yang ditanam di Mardi Kuala Kangsar.

Katanya, Mardi Kuala Kangsar juga merupakan stesen sokongan untuk menjalankan kerja-kerja penyelidikan buah-buahan tropika.

Bermula dengan harum manis, Mardi Kuala Kangsar terus melebarkan sayapnya sehingga menjadi makmal lapangan bagi mengkaji variasi buah-buahan tempatan termasuk durian.

Bukan itu sahaja, durian yang dihasilkan di Mardi cawangan itu juga katanya digilai serta diminati majoriti peminat buah tersebut.

Menurutnya, Mardi seluruh Malaysia pada masa sama sering ternanti-nanti musim durian di Kuala Kangsar.

Mohammad 'Ammaruddin bagaimanapun berkata, menguruskan keseluruhan ladang buah yang seluas lebih 100 hektar bukanlah tugas mudah.

"Di sini, semuanya gunakan kekuatan kami seramai 17 orang pekerja untuk uruskan ladang sahaja. Ladang durian pula seluas 53 hektar.

"Apabila bukan musim durian, mungkin kami banyak buat kerja-kerja pembersihan, rawatan dan sebagainya.

"Tetapi, bila tiba musim durian, kami tak boleh buat kerja lain selain uruskan durian dengan ditambah pula hasil makin tinggi.

"Selama 10 tahun saya bekerja, paling banyak sehari boleh dapat iaitu 3.5 tan durian," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Taman Agro Duriotourism di Mardi Kuala Kangsar pada Sabtu lalu.

6310054432913605963

Menguruskan tanaman durian perlu penelitian terperinci bagi menghasilkan buah yang berkualiti.

Katanya lagi, proses menguruskan durian perlu mempunyai penelitian terperinci dari sebelum berbuah sehingga ia jatuh ke tanah.

Mohammad 'Ammaruddin berkata, tempoyak merupakan olahan terakhir yang boleh dilakukan pada isi durian yang sudah jatuh untuk beberapa hari bagi mengelakkan pembaziran.

Menurutnya, Mardi Kuala Kangsar setakat ini berjaya menghasilkan sebanyak 20 variasi durian dengan usia tanamannya lebih 30 tahun.

Antara variasi durian yang giat diperkenal dan dipasarkan seluruh negara adalah Mardi Super (MS88).

Mardi Super (MS88) adalah penjenamaan semula durian MDUR88 selepas ia diolah dan diinovasikan menjadi lebih baik.

Variasi baharu itu juga memiliki ciri-ciri premium iaitu tekstur dan rasanya yang lebih lemak berkrim, manis serta mempunyai ketahanan tinggi daripada penyakit.

Mardi Kuala Kangsar juga sebenarnya mempunyai 10 jenis durian hibrid yang dihasilkan dengan kaedah mengahwinkan induk berbeza.

Sebagai antara Taman Agropelancongan Mardi, Mardi Kuala Kangsar turut menawarkan pakej berpatutan kepada para peminat buah-buahan tropika.

6310054432913605961

Mohammad 'Ammaruddin (kiri) ketika memberi penjelasan tentang tanaman buah manggis dan mesta selain durian di ladang Mardi Kuala Kangsar.

Dengan pakej Duriotourism Mardi Kuala Kangsar, ia mengetengahkan lima konsep utama Taman Agroteknologi iaitu Teknologi, Inovasi, Pemuliharaan, Pendidikan dan Rekreasi (TICER).

Antara objektif utama Duriotourism adalah untuk memperkenalkan teknologi durian Mardi kepada pengunjung dengan memberikan pengalaman langsung tentang cara penanaman durian yang maju dan pelbagai teknik pertanian terkini digunakan dalam industri durian di Malaysia.

Pakej Duriotourism yang dijalankan mengikut musim durian sekali gus memberi peluang kepada pengunjung untuk membuat lawatan ke ladang durian sebenar.

Pengunjung akan dibawa menaiki tram melawat plot tanaman durian yang diiringi oleh pemandu berpengalaman dalam penanaman dan variasi durian.

Pengunjung pada masa sama dapat menikmati buah durian segar terus dari ladang menjadikan lawatan ke Duriotourism Mardi Kuala Kangsar satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram