PENDUDUK berdepan detik-detik cemas apabila menyaksikan kejadian tanah runtuh yang berlaku di sebuah Kampung Nganga, Kuala Krai, Kelantan pada Isnin.
Menerusi video tular di media sosial sejak Selasa, kejadian itu berlaku di belakang rumah penduduk kampung tersebut ketika hujan lebat.
Dalam video sama, kelihatan runtuhan tanah dan batu-batu kecil itu turut menghempap bumbung depan rumah di kawasan lereng bukit tersebut.
Runtuhan tanah dan batu yang menghempap kawasan rumah penduduk. — Polis Kuala Krai
Kejadian itu juga dapat disaksikan sendiri oleh penduduk sekali gus menimbulkan ketakutan kepada orang ramai.
Mereka pada masa sama sempat mengucap dalam keadaan panik ketika kejadian berlaku.
"Allahuakbar, Lailaha Illallah," ucap beberapa penduduk.
Susulan itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, kejadian itu bagaimanapun tidak membabitkan mangsa dan kawasan yang terkesan sekitar ketinggian lebih 12 meter dan hampir tujuh meter lebar.
Ujarnya, sehingga kini pergerakan tanah masih lagi berlaku di kawasan itu.
Penduduk juga dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan berwaspada terutamanya pada musim hujan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram