MENULIS atau menghasilkan sesebuah naskhah yang berkualiti dan bermanfaat kepada si pembacanya bukan perkara mudah.
Setiap penulis juga pastinya mempunyai cara tersendiri dalam menyampaikan sesuatu cerita supaya dapat difahami dengan jelas.
Begitu juga dengan penulis otai, Sahidan Jaafar, 64, yang kini menggelar dirinya sebagai pencandu buku.
Sahidan ketika ditemui di Kompleks Hentian Kajang, Selangor.
Pencandu boleh dikategorikan sebagai gelaran untuk individu yang gemar membaca, menulis dan mengumpul buku.
Minatnya terhadap dunia buku itu sejak 1980-an, lebih-lebih lagi selepas berkhidmat dalam industri penerbitan.
Bermula sebagai penulis sambilan untuk penerbitan akhbar seperti Harian Metro, Berita Harian, News Strait Times dan Utusan Melayu pada sekitar 1997, Sahidan sering berkongsi ilmu dengan para sasterawan dan ahli-ahli politik di Malaysia.
"Jadi, apabila menulis Utusan Malaysia, saya banyak duduk di Parlimen dan bertemu dengan ahli politik dan menteri.
"Saya juga banyak dihadiahkan buku-buku tulisan mereka dan simpan sebagai kenangan nostalgia," katanya kepada Majoriti.
Dari sekadar mengumpul buku, Sahidan mengambil keputusan untuk membuka kedainya sendiri di Bangi Gateway, Selangor pada 2017 dan mula menjual buku secara aktif.
Lebih menarik apabila kebanyakan buku terpakai yang dijualnya adalah berharga mampu milik iaitu serendah dari RM5 hingga RM10.
Meskipun begitu, Sahidan pernah meraih pendapatan sehingga mencecah RM1,000 hasil menjual buku terpakai.
Kebanyakan bukunya juga mempunyai nilai tersendiri selain disertakan dengan tandatangan pengarang.
Katanya, buku-buku tersebut bukan sahaja dijual untuk mencari keuntungan, tetapi juga untuk memastikan koleksi tersebut dapat diteruskan kepada generasi baru yang menghargai nilai ilmu dan sejarah yang terkandung dalam setiap halaman buku.
Majalah Mastika yang pernah menjadi fenomena dalam kalangan rakyat Malaysia suatu ketika dahulu. — Gambar hiasan/Facebook
Berkesempatan berkongsi tentang pengalamannya sepanjang menjadi pencandu buku, Sahidan berkata, berkhidmat sebagai penulis majalah Mastika antara momen yang tidak dapat dilupakan sehingga kini.
Sahidan berkata, segala kisah yang diceritakan di dalam siri seram tersebut adalah dikaji sepenuhnya terlebih dahulu oleh para penulis.
"Setiap penulisan kami perlu turun ke lapangan untuk mencari bukti sama ada ia benar atau tidak.
"Pernah satu masa dahulu saya dan pasukan perlu pergi ke satu tempat di Muar, Johor yang ketika itu popular dengan ura-ura hantu puntianak.
"Kami pun pergi selepas pukul 12 malam dan tunggu di situ, tetapi tak jumpa pun.
"Jadi, disebabkan kami tak mahu menipu pembaca, kami beritahu bahawa puntianak segan nak muncul sebab takut," kongsinya.
Katanya, terdapat juga kisah mistik yang tersemat dalam fikiran masyarakat tetapi belum pasti wujud di alam nyata.
Buku yang dihasilkan dengan kerjasama Sahidan.
Sahidan juga merupakan antara penulis yang bekerjasama dengan bekas Pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Seri Azharuddin Abdul Rahman dalam menghasilkan buku berjudul Last Flights of Malaysian Airlines MH370 And MH17.
Buku tersebut diterbitkan berdasarkan kisah benar yang berlaku ketika tragedi kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH370 dan pesawat MH17 ditembak jatuh pada 2014.
"Walaupun saya bukan penulis utama, tetapi saya juga terlibat untuk menemu bual individu-individu terkait dalam tragedi itu.
"Saya berperanan sebagai penulis di belakang tabir," jelasnya.
Baginya, dunia buku adalah satu perjalanan yang membawa pelbagai pengalaman berharga dan menghubungkan antara satu generasi dengan generasi lain. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram