ISU tunggakan gaji menimpa Kedah Darul Aman (KDA) FC nampaknya dikatakan turut merebak kepada jiran mereka iaitu Perak FC apabila timbul dakwaan mengenai masalah berkenaan menimpa kelab itu yang kini mula tular di media sosial.
Menerusi laman media sosial penyokong skuad The Bos Gaurus (TBG), Perak FC Supporters, memuat naik hantaran ‘empat bulan’ dan ia seolah-olah memberi petunjuk mengenai masalah dalaman yang dialami pasukan itu.
Kapsyen ringkas dari laman penyokong itu membuatkan ramai penyokong mula mendakwa bahawa ia berkaitan masalah gaji, yang turut pernah dialami pasukan itu pada awal musim ini.
BACA LAGI: Penyokong gembira pemergian Luka, sedih Jesper umum aksi terakhir bersama Perak FC
BACA LAGI: Gaji sangkut 9 bulan, pemain Kedah disaran cari kerja lain tampung keluarga
“Sangkut empat bulan gaji lah itu,” komen penyokong TBG, MD Solihin Lihin.
“Faham-faham sendiri, mungkin ada masalah gaji Perak ini,” tambah penyokong skuad Seladang, Muhammad Eiman.
“Gaji sangkut ke?,” tanya peminat Perak FC, Shakir Zufayri.
Isu tunggakan gaji diyakini berlaku dalam kem Perak apabila mereka baru sahaja kehilangan tiga pemain import utama iaitu Jesper Nyholm, Luka Milunovic dan Lee Tae-min.
Sebelum ini, Perak terlebih dahulu mengumumkan perpisahan dengan pemain import Korea Selatan, Tae-min yang baru menyertai The Bos Gaurus awal musim ini dari kelab Korea Selatan, Busan IPark.
Susulan berita kehilangan tiga pemain itu, kini Yusri hanya memiliki lima pemain import iaitu Luiz Motta, Clayton da Silva (Brazil), Luciano Guaycochea (Argentina), Adilet Kanybekov (Republik Kyrgyz) dan Sunday Afolabi (Nigeria).
Meskipun belum ada kenyataan rasmi pengurusan kelab mengenai dakwaan masalah gaji berkenaan namun rata-rata penyokong berharap ia segera diselesaikan sebelum melarat seperti yang berlaku pada kem Kedah.
Baru-baru ini, masalah gaji melibatkan Sang Kenari yang memasuki babak baharu selepas pasangan hidup salah seorang pemain secara terbuka menempelak pengurusan pasukan tersebut.
Wanita dikenali sebagai Mira Izhar yang merupakan isteri pertahanan Kedah, Irfan Zakaria secara terbuka mempersoal pengurusan Kedah akibat tunggakan gaji sudah memasuki sembilan bulan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram