PENDUDUK di Taman Sri Alam, Puncak Alam Selangor dikejutkan pada Ahad apabila benteng takungan air pecah dan ia mengakibatkan banjir hingga 200 rumah terkesan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, kejadian itu mengakibatkan air dari benteng takungan tersebut melimpah hingga ke kawasan perumahan berdekatan.
Menurut Ahmad Mukhlis, sewaktu pihaknya tiba di tempat kejadian, air takungan sudah setinggi 0.3 meter.
BACA LAGI: Kereta dinaiki sekeluarga bertembung lori treler di Mersing, 8 termasuk 2 kanak-kanak nyaris maut
"Sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya serta tiga anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Saujana Utama bersama jentera dikerahkan ke lokasi.
"Sebaik tiba, didapati paras air adalah 0.3 meter," ulas Ahmad Mukhlis dalam satu kenyataan.
Tambahnya lagi, pihaknya menerima panggilan pada 5.15 petang dan terus ke tempat kejadian bagi mengawal keadaan.
Dalam pada itu, Ketua JBPM Bestari Jaya, Azrel Izaidi Ahamad berkata, mereka dalam proses perbincangan untuk memindahkan penduduk walaupun air sudah surut.
"Air sudah surut, cuma satu lorong yang agak rendah masih digenangi air, dan ia mengambil masa untuk surut sepenuhnya. Oleh itu, pihak bomba akan melakukan kerja-kerja penyedutan air di kawasan itu.
"Kami masih menilai keperluan untuk memindahkan penduduk kerana keadaan kini menunjukkan tanda-tanda pulih. Bagaimanapun, proses mengenal pasti kerosakan mungkin memerlukan masa. Kami akan memberikan maklumat terkini dari semasa ke semasa," ujarnya.
Sebelum ini, tular di media sosial video menunjukkan benteng air di Taman Sri Alam dengan kawasan sekitar seperti Jalan Mokhtar Dahari serta Taman Hill Park berdepan situasi serupa. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram