SEORANG wanita mengaku bersalah ketika dihadapkan di Mahkamah Sesyen, Taiping, Perak atas pertuduhan membakar motosikal pada Khamis lalu.
Tertuduh yang juga merupakan peniaga goreng pisang dan apam balik itu kesal dengan perbuatannya itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.
Tertuduh, Zainatul Rafeda Zainul Abidin, 43, didakwa melakukan khianat dengan api untuk merosakkan motosikal jenis Honda RSX dianggarkan bernilai RM7,000 milik Zainatul Syakira Amira Zaini, 22 di Jalan Masjid Pokok Assam, Taiping.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika disabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fahmi Kamaluddin kemudiannya mencadangkan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan syarat tertuduh tidak boleh menghubungi pengadu.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ng Wei Jun yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu agar jumlah tersebut dikurangkan.
Rayuan itu disertakan dengan keadaan tertuduh iaitu umur, pendapatan bulanan kira-kira RM1,000, tanggungjawab menanggung empat orang anak serta suami separa lumpuh akibat strok.
Ketika disoal Nabisha, tertuduh merayu supaya jumlah ikat jamin serendah mungkin sambil menekankan bahawa ia merupakan kesalahan pertamanya.
Hakim kemudiannya menetapkan ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin, bersetuju dengan syarat tambahan pihak pendakwaan dan dijadualkan pada 14 Januari untuk penyerahan fakta kes serta hukuman.
Terdahulu, tular sebuah video memaparkan wanita terbabit sengaja membakar motosikal miliknya apabila kenderaan roda dua itu dikatakan akan ditarik gara-gara tunggakan ansuran bulanan.
Dia juga dilihat bertindak menyimbah minyak petrol ke atas motosikal tersebut untuk menunjukkan perasaan tidak puas hatinya terhadap tindakan itu.
Difahamkan, tindakan drastik itu diambil dipercayai berpunca daripada dirinya yang kegagalan melunaskan bayaran ansuran selama 20 bulan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram