Syarikat katering jadi majikan pertama aset disita gara-gara gagal bayar caruman PERKESO lebih RM19,000


  • Massa
  • Isnin, 30 Dis 2024

PERKESO Selangor memohon perintah mahkamah untuk menyita aset syarikat terlibat yang dianggarkan kira-kira RM20,000. — Gambar hiasan/The Star

SEBUAH syarikat katering menjadi majikan pertama di Malaysia yang asetnya dirampas pada Isnin kerana gagal membayar caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berjumlah RM19,765.20.

Pengarah PERKESO Selangor, Ismail Abi Hashim berkata, Mahkamah Majistret Shah Alam sudah mengeluarkan waran membenarkan rampasan dilakukan apabila syarikat berkenaan gagal membayar denda RM4,000 sebelum ini.

Denda itu dikeluarkan pada 9 Mac lalu apabila pemilik syarikat tersebut gagal menjelaskan tunggakannya.

BACA LAGI: [VIDEO] Langgar bateri tengah jalan punca kereta mewah terbakar di Jambatan Kedua Pulau Pinang

BACA LAGI: [VIDEO] Penumpang buat aksi pelik keluar guna pintu kecemasan, duduk atas sayap pesawat Alaska Airlines

"Mahkamah juga membenarkan syarikat menjelaskan tunggakan sebanyak RM19,765.20 mulai 25 Mac 2023 secara ansuran selama enam bulan.

"Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan waran dikeluarkan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, syarikat itu gagal menjelaskan tunggakan tersebut selepas tempoh yang ditetapkan berlalu.

"Jadi, PERKESO Selangor memohon perintah mahkamah untuk menyita aset syarikat yang dianggarkan kira-kira RM20,000," katanya.

Beliau berkata, syarikat itu diberi tempoh tujuh hari mulai Isnin untuk menjelaskan tunggakan PERKESO sebelum tarikh lelongan yang ditetapkan pada 13 Jan 2025. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram