MAJLIS Bandaraya Johor Bahru (MBJB) mensasarkan untuk memandulkan 1,000 anjing terbiar pada 2025, kata Datuk Mohd Noorazam Osman.
Datuk Bandar Johor Bahru itu berkata, fasa kedua program mandul dan steril akan diadakan pada 7 dan 8 Januari tahun hadapan yang mana 310 anjing terbiar dijangka akan dimandulkan.
Menurutnya, sebanyak 219 ekor anjing telah berjaya dimandulkan dalam fasa pertama program yang diadakan pada 29 dan 30 Oktober tahun ini.
“Kami merancang untuk mengadakan program mandul dan steril ini setiap suku tahun pada tahun depan,” kata Noorazam kepada pemberita selepas mesyuarat penuh MBJB pada Isnin.
BACA LAGI: Penjual apam balik di Taiping menyesal bakar motor tertunggak 20 bulan, dibenar ikat jamin RM4,000
Noorazam berkata, sebanyak 2,692 anjing terbiar telah ditangkap dari Januari hingga November tahun ini berdasarkan 616 aduan orang awam yang diterima dalam tempoh itu.
"Kebanyakan anjing tersebut sama ada ditinggalkan pemiliknya atau ditinggalkan pekerja pembinaan di tapak pembinaan selepas projek pembangunan selesai.
“Jika anda ke tapak-tapak pembinaan, anda akan melihat banyak anjing yang menjaga kawasan itu,” tambahnya.
Kerja-kerja menaik taraf tempat perlindungan haiwan MBJB bernilai RM6 juta di Jalan Tahana, Johor Bahru, Johor difahamkan telah pun bermula dan ia dijangka siap pada September depan.
"Peluasan tempat itu akan membolehkan MBJB menempatkan lebih banyak anjing terbiar serta haiwan-haiwan lain termasuk lembu, kambing dan ayam.
"MBJB bekerjasama dengan Yayasan Hero Sosial dan Vet Partners untuk program pemandulan pada 7 dan 8 Januari 2025," ujarnya.
Majlis itu menerima sumbangan bernilai RM142,000 dalam bentuk makanan anjing, vaksin rabies dan ubat kutu daripada Royal Canin Malaysia, Elanco, RhoneMa Malaysia, VetPartners Malaysia dan MSD Animal Healthcare. — The Star/ZAZALI MUSA