'Hari paling memilukan', kru Swiss International Air Lines maut pesawat terpaksa buat pendaratan cemas angkara kabin berasap


  • Benua
  • Selasa, 31 Dis 2024

Seorang kru kabin Swiss International Air Lines meninggal dunia selepas pesawat yang dinaikinya terpaksa melakukan pendaratan kecemasan akibat kepulan asap di dalam kabin

SEORANG kru kabin Swiss International Air Lines meninggal dunia selepas pesawat yang dinaikinya terpaksa melakukan pendaratan kecemasan akibat kepulan asap di dalam kabin.

Insiden itu dilaporkan syarikat penerbangan tersebut pada Isnin.

Pesawat Airbus A220-300 yang membawa 74 penumpang dan lima kru kabin dalam perjalanan dari Bucharest ke Zurich pada 23 Disember terpaksa mendarat di Graz, Austria, selepas mengalami masalah enjin yang menyebabkan asap memenuhi kokpit dan kabin.

BACA LAGI: 'Bukan doktor yang tiada pencapaian', TMJ beri nafas baharu dalam sistem perubatan Harimau Malaya

BACA LAGI: Perlu segera transformasi skuad, Gergasi Merah wajar pertimbang bawa balik 2 anak jati, ‘new’ Arif Aiman

Walaupun begitu, pesawat tersebut berjaya mendarat dengan selamat.

"Dengan rasa amat dukacita, kami mengesahkan bahawa rakan sekerja muda kami telah meninggal dunia di sebuah hospital di Graz pada Isnin," kata syarikat penerbangan Swiss dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Swiss, Jens Fehlinger menyatakan rasa duka dan menganggap kehilangan itu telah meninggalkan kesan mendalam kepada syarikat penerbangan.

"Kami amat berdukacita atas pemergian rakan sekerja kami. Pemikiran kami bersama keluarganya, yang pasti menanggung kesedihan yang tidak dapat kami bayangkan.

"Saya mengucapkan takziah yang tulus ikhlas bagi pihak seluruh warga Swiss," katanya.

Swiss turut berkata, mereka menghormati keluarga mangsa dan menjanjikan untuk tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai pekerja atas sebab kematian itu.

Selepas insiden itu, seorang kru kabin telah diterbangkan ke hospital di Graz dengan helikopter dan dimasukkan ke unit rawatan rapi, manakala seorang lagi kru turut menerima rawatan.

Semua penumpang berjaya dipindahkan dari pesawat, dengan 12 orang menerima rawatan perubatan.

Pada Selasa, Swiss memaklumkan bahawa semua penumpang yang dimasukkan ke hospital kini telah dibenarkan keluar.

Ketua Pegawai Operasi Swiss, Oliver Buchhofer, mengucapkan terima kasih kepada pasukan kecemasan di Graz yang membantu penumpang dan kru dalam situasi cemas itu.

"Hari ini adalah hari yang paling memilukan bagi kami semua.

“Kehilangan seorang rakan sekerja yang juga dianggap sebagai ahli keluarga besar Swiss amat mendukacitakan," katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa Swiss akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk mengenal pasti punca kejadian. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram