KERAJAAN Pulau Pinang memberikan pengecualian tunggakan denda cukai tanah dan cukai petak sebanyak 100 peratus kepada semua pemilik tanah serta petak dari 2 Januari sehingga 28 Februari 2025.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, mesyuarat exco yang diadakan pada minggu lalu turut bersetuju memberikan pengurangan tunggakan denda cukai tanah dan petak sebanyak 50 peratus untuk pembayaran yang dibuat bermula 1 Mac sehingga 31 Mei 2025.
"Ini untuk mendapatkan semula RM40.1 juta penalti yang tertunggak melibatkan 100,000 akaun.
"Sekiranya pemilik tanah dan petak tidak membuat bayaran cukai dengan segera, dikhuatiri tanah atau petak mereka akan dilucut hak oleh pihak berkuasa negeri akibat tunggakan bayaran sedia ada," jelasnya.
BACA LAGI: 'Sampai kaki melecur', budak jadi mangsa terpijak bara api ditimbus dengan pasir di Pantai Pimping
BACA LAGI: Ibu, anak 2 tahun maut, 4 lagi cedera kemalangan di WCE
Kon Yeow berkata, insentif itu bertujuan mengurangkan beban pemilik tanah dan petak dengan 107,908 akaun masih belum membuat pembayaran.
"Kedua-dua insentif berkenaan juga terpakai kepada semua pemilik tanah dan petak yang telah menerima Notis Denda 6A (cukai tanah) atau Notis Denda 11 (cukai petak)," tambahnya.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Menurut Kon Yeow, insentif berkenaan hanya untuk pembayar yang membuat bayaran sekali gus dan bukan untuk pembayar yang membuat pembayaran secara ansuran.
Pembayaran boleh dibuat di pejabat tanah daerah atau dalam talian melalui portal web PgLAND.
Untuk maklumat lanjut, pemilik tanah dan petak boleh menghubungi Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang di talian 04-6505844/5847/5849 atau pejabat tanah daerah. — The Star/R.SEKARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram