BENARLAH pepatah Melayu mengatakan ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi selepas melihat bakat luar biasa Hana Tatiza Eswar yang merupakan anak perempuan kepada pelukis terkenal Sabah, Harold Reagan Eswar.
Baru berusia sembilan tahun, Hana berjaya mencipta nama di peringkat antarabangsa apabila karyanya dipilih sebagai maskot rasmi di pameran Asia Pacific Triennial Kids di Brisbane, Australia.
Watak 'Mahu' yang dihasilkan Hana dan kisah di sebaliknya kini dipamerkan di Galeri Seni Moden dan Pusat Seni Kanak-Kanak di Galeri Seni Queensland (QAGOMA) sejak 14 September lalu sehingga 13 Julai 2025.
Hana Tatiza bersama hasil karya yang berjaya membawa namanya ke luar negara. — The Star
Hana, murid Sekolah Kebangsaan (SK) St. Anthony di Penampang, Sabah mencipta watak 'Mahu' untuk digunakan dalam siri Dokumentasi Biografi Ruang.
Pencapaian Hana itu pada masa sama diraikan oleh warga pendidik di sekolahnya menerusi perkongsian di Facebook rasmi.
"Dari Penampang ke luar negara. Kami bangga meraikan pencapaian cemerlang murid berbakat kami, Hana Tatiza Eswar yang berjaya menghasilkan maskot 'Mahu' ke peringkat global.
"Platform berprestij ini menampilkan karya seni dari lebih 30 negara dan menjadi bukti kepada kreativiti serta dedikasi Hana pada usia yang begitu muda.
"Tahniah, Hana! Kejayaan anda membawa kebanggaan besar kepada SK St. Anthony. Kami mendoakan kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan.
"Semoga kisah anda menjadi inspirasi kepada rakan-rakan lain untuk berani bermimpi besar dan mengejar minat dengan penuh tekad. Terus bersinar dan berkarya!," tulisnya.
Hantaran dimuat naik di laman Faecebook rasmi sekolahnya. — The Star
Bercakap pula tentang latar belakang keluarga Hana, bapanya, Harold merupakan pelukis terkenal yang menghasilkan ratusan karya serta sering mengadakan pameran di Galeri Seni Sabah.
Melihat pencapaian anaknya, Harold memanjatkan rasa syukurnya terhadap peluang yang diberikan kepada Hana.
"Saya menamakan projek ini sebagai Monsters of Wants iaitu antara adegan penting dalam siri dokumentari Spatial Biography.
"Terima kasih tidak terhingga kepada Tamsin Cull dan Laura Mudge dari QAGOMA kerana merealisasikan idea ini menjadi satu perjalanan seni yang luar biasa bagi kami," kata Harold.
Harold yang sentiasa menyokong minat anaknya dalam dunia seni. — The Star
Sementara itu, Asia Pacific Triennial Kids adalah koleksi tujuh projek seni yang membolehkan kanak-kanak meneroka kreativiti mereka melalui aktiviti interaktif, multimedia dan karya reflektif seperti lukisan serta video.
Pameran itu menampilkan beberapa artis lain dari India, New Zealand, Malaysia, Arab Saudi, Palestin, Kemboja dan Timor-Leste.
Ia sekali gus memberi ruang kepada penggiat seni menyatukan kanak-kanak dari pelbagai budaya.
Dengan pencapaian Hana, ia bukan sahaja mengharumkan nama Penampang, malah turut menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk berkarya dan percaya pada kemampuan mereka. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram