Kena marah sebab tak fokus SPM, Fidi percaya rezeki ALLAH luas kendatipun berhujan jadi buskers


  • Massa
  • Sabtu, 28 Dis 2024

Fidi tidak pernah berputus asa mengejar kepuasannya walaupun hanya bergelar sebagai penghibur jalanan.

PERCAYA pada rezeki. Itulah kata-kata sentiasa dipegang dan disematkan dalam diri seorang penghibur jalanan berjiwa besar.

Mohd Firdaus Hafiz Adnan atau lebih mesra disapa Fidi yang baru berusia 23 tahun itu tidak pernah berputus asa mengejar cita-cita dan impiannya dalam bidang muzik.

Anak kelahiran Terengganu itu juga kini bergiat aktif sebagai buskers sepenuh masa di sekitar Kuala Lumpur seperti Pasar Seni dan banyak lagi.

BACA LAGI: 'Karom bukan boleh pergi jauh, tak macam bola sepak', atlet cedera bersyukur dapat kerja MBPJ

BACA LAGI: Bukan lagi 'gajah putih', sinar baharu Hentian Kajang, kini pusat pertemuan pencinta buku

6298786676406862384

Fidi aktif menyanyi di sekitar Kuala Lumpur.

Walaupun pernah melalui perjalanan yang penuh dengan cabaran, Fidi membuktikan bahawa minat dan usaha membuka banyak peluang kepadanya selama kira-kira lima tahun dia menetap di Kuala Lumpur.

Bermula seawal usia 16 tahun ketika masih di bangku sekolah menengah, Fidi ternyata sudah berjinak-jinak menjadi penyanyi jalanan di Terengganu.

"Tamat sahaja sekolah, saya terus sambung pengajian Diploma Seni Muzik di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Kuala Lumpur dan baru selesai pada 2021.

"Sebenarnya, sebelum itu saya tak boleh menyanyi. Tetapi, apabila dah berjumpa rakan-rakan muzik, saya belajar dengan mereka sampai boleh menyanyi seperti sekarang.

"Alhamdulillah, semakin ramai yang nampak kebolehan saya sehingga boleh dapat jemputan untuk menyanyi di majlis-majlis dan restoran," katanya kepada Majoriti.

Katanya, antara rakan-rakan selebriti yang menjadi rakan seperjuangan dan dorongan padanya adalah Fariq Macfly dan Danial Chuer.

Fidi pada masa sama sentiasa belajar tip atau cara daripada mereka untuk memperbaiki teknik-teknik yang betul dalam bidang nyanyian.

Namun, ia semestinya tidak semudah ABC. Minatnya yang mula digilap sejak Tingkatan 4 itu secara tidak langsung menimbulkan kebimbangan terhadap kedua-dua ibu bapanya.

6298786676406862383

Fidi (kanan) sering membuat persembahan di Pasar Seni, Kuala Lumpur.

Usia yang seharusnya diberi fokus sepenuhnya pada pelajaran dan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM), Fidi tidak menafikan ia merupakan antara fasa mencabar baginya.

"Cabarannya memang banyak sampai kena marah juga dengan ibu ayah sebab tak fokus SPM dan sebagainya.

"Mereka selalu cakap 'apa busking ini?'. Tetapi tak halang untuk menyanyi, cuma waktu itu mereka nak suruh saya fokus sahaja," jelasnya.

Bukan itu sahaja, Fidi juga terpaksa berdepan dengan pelbagai persepsi negatif yang kebanyakannya beranggapan bahawa buskers sebagai kerjaya tidak menguntungkan.

Baginya, dia percaya bahawa rezeki adalah sesuatu yang tidak boleh dijangka dan keyakinan itulah banyak membantunya terus bertahan.

"Biasalah busking ini bergantung pada situasi dan tempat. Ada sesetengah tempat yang kurang dan banyak hasil.

"Lebih-lebih lagi kalau buat outdoor busking dan hujan. Tetapi, percaya pada rezeki sahaja dan sentiasa berusaha lebih baik untuk memperbaiki diri.

"Biasanya, pendapatan yang saya boleh dapat sehari kira-kira RM100. Paling banyak pernah saya dapat RM1,000 sehari waktu Krismas di Genting Highlands," kongsinya.

6298786676406862382

Kerjaya buskers yang mampu menghiburkan orang awam di sekitar kawasan itu.

Fidi berkata, ibu bapanya juga pernah mengarahkannya untuk mendapatkan pekerjaan stabil, namun tekanan bekerja di bawah majikan tidak menepati cita rasanya.

Justeru, selain muzik, Fidi turut menjadikan perniagaan sebagai sumber pendapatan tambahan.

Pada awal tahun 2024, dia memulakan perniagaan Airbnb dengan menyewa rumah di Pudu, Kuala Lumpur dan menyewakan kepada orang ramai.

"Saya tak berapa gemar untuk bekerja di bawah telunjuk orang. Sebab itu, saya pilih buat perniagaan sendiri," jelasnya.

Tambahnya, antara pengalaman manis yang tidak dapat dilupakannya sepanjang lapan tahun berkecimpung dalam bidang itu adalah ketika menerima tawaran untuk membuat persembahan di konsert berbayar.

Katanya, momen tersebut memberi motivasi buat dirinya untuk terus melangkah jauh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram