KEKERAPAN insiden atau kemalangan membabitkan kenderaan berat seperti lori di Malaysia kini semakin menimbulkan kebimbangan orang ramai termasuk pengguna jalan raya.
Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 825 buah lori didapati terlibat dalam kemalangan maut dalam tempoh 10 bulan pertama pada 2024.
Ia sekali gus menjadikan jumlah secara purata iaitu tiga buah lori terlibat nahas dalam sehari yang turut menyumbang kepada 5,364 kematian berbanding 6,024 sepanjang 2023.
BACA LAGI: 'Karom bukan boleh pergi jauh, tak macam bola sepak', atlet cedera bersyukur dapat kerja MBPJ
Kemalangan yang meragut tujuh nyawa di Melaka pada Selasa lalu.
Sebelum ini, rakyat Malaysia juga digemparkan dengan tragedi menyayat hati yang mengorbankan tujuh nyawa membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah lori dan bas pelancong di Kilometer 204.0 Lebuhraya PLUS arah utara di Melaka.
Kemalangan itu juga berpunca daripada tayar hadapan lori Foton yang tercabut dan berada di lorong tengah jalan raya terbabit.
Kes tersebut secara tidak langsung membuatkan pengguna lebih berhati-hati dan waspada ketika berselisih dengan kenderaan berat di atas jalan.
Melihat kepada statistik itu, ada segelintirnya yang mengaitkannya dengan perkhidmatan sewaan tayar lori bagi mendapat kelayakan oleh Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Menerusi hantaran Facebook dikongsikan aktivis sosial, Lando Zawawi pada Khamis, dia mendakwa bahawa terdapat kedai tayar yang menyediakan perkhidmatan tersebut pada pemilik-pemilik kenderaan berat seperti lori.
Perkhidmatan itu didakwa disediakan untuk sementara dan membolehkan pemilik lori menukar semula dengan tayar asal yang berkemungkinan botak atau tidak menepati spesifikasi ditetapkan Puspakom.
Pada masa sama, ramai warganet mendakwa kartel itu masih aktif sehingga sekarang.
Justeru, rata-rata warganet menyeru agar pihak berkuasa lebih agresif untuk mengambil tindakan tegas terhadap kegiatan kartel tayar tersebut demi keselamatan dan kesejahteraan pengguna lain.
"Perlu ada nut khas hanya untuk Puspakom dan letak pada rim lori. Kalau rosak atau hilang kenakan kompaun RM20,000.
"Pemilik lori juga wajib datang ke Puspakom untuk buka nut," cadang @MilanistaRancak.
"Kena jadikan ini satu kesalahan letak di bawah akta yang kedai ini boleh dikenakan tindakan," komen @suhaimi_amy7 sambil menyeru Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram