Berani bersuara, penduduk Venice Hill buktikan sikap ambil tahu penduduk berjaya 'lawan' caj MF melampau


  • Massa
  • Khamis, 19 Dis 2024

Setiap penduduk berani tampil ke hadapan untuk mendapatkan penjelasan dan membuat perundingan ketika AGM berlangsung.

HIDUP bermasyarakat merupakan asas kepada pembentukan sesebuah komuniti yang harmoni, sejahtera dan maju.

Masyarakat bukan sahaja berkongsi tempat tinggal, tetapi turut saling bergantung antara satu sama lain demi memastikan kesejahteraan bersama.

Dalam kehidupan seharian, hubungan sosial dan kerjasama memainkan peranan penting yang membolehkan masyarakat hidup dengan baik.

BACA LAGI: Jaga integriti, anggap arahan senior sebagai tugas antara ilmu berharga buat 2 rekrut penguatkuasa MBPJ

BACA LAGI: Terima kekurangan diri, hidap phocomelia tak halang Boo Siong bangkit, beri motivasi kepada masyarakat

6273939556160093234

Perlunya sikap prihatin dan peka terhadap isu atau keadaan semasa yang berlaku di kawasan kediaman.

Antara aspek utama dalam hidup bermasyarakat adalah sikap prihatin terhadap satu sama lain.

Keprihatinan juga melibatkan perhatian terhadap kebajikan orang lain, menghargai kepelbagaian dalam masyarakat serta memastikan semua individu mempunyai peluang yang sama untuk mendapat keadilan.

Begitu juga dengan situasi penduduk di Venice Hill, Tower 10, Cheras, Selangor yang amat mementingkan kerjasama antara satu sama lain dalam apa jua perkara.

Ia jelas dapat dilihat apabila penulis membuat pemerhatian ketika berlangsungnya Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang diadakan oleh penduduk dan pihak pengurusan bangunan berhubung konflik kenaikan caj bayaran penyelenggaraan (MF).

Berdasarkan intipati yang disuarakan di dalam mesyuarat itu, kesemua penduduk Tower 10 dikejutkan dengan kenaikan caj sebanyak 65 peratus sejak awal April lalu.

Kenaikan itu sekali gus membuatkan pemilik rumah ralat dan berasa tidak adil dengan kemudahan serta servis yang dilihat tiada perubahan selepas caj dinaikkan.

Bahkan ada pemilik-pemilik yang tidak mampu membuat pembayaran sehingga hilang kelayakan untuk hadir AGM terkini iaitu pada Sabtu lalu.

6273939556160093511

Sesi AGM penduduk bersama pihak pengurusan Venice Hill pada Sabtu lalu.

Bertindak atas perkara itu, seramai 131 dari 302 pemilik rumah menyerahkan petisyen kepada Pesuruhjaya Bangunan (COB) dan pihak pengurusan serta mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 18 Mac lalu untuk berbincang.

Namun, usaha itu dilihat tidak memihak kepada penduduk lalu mereka membawa kes ini ke Tribunal dari bulan Jun 2024 sehingga November 2024.

Penduduk bagaimanapun tidak mudah berputus asa dan mengambil keputusan untuk membuat AGM dengan pihak pengurusan sekali lagi pada Sabtu lalu, bagi mendapatkan penjelasan terperinci dan menurunkan kadar caj penyelenggaraan.

Setelah lebih dua jam berbincang dan berunding ketika AGM itu, penduduk akhirnya mendapat pengurangan dari 65 peratus kepada 10 peratus caj kenaikan.

Pihak pengurusan akhirnya terpaksa akur dengan keputusan majoriti penduduk yang hadir dalam mesyuarat tersebut.

Menurut beberapa penduduk yang enggan didedahkan identitinya, AGM menjadi platform penting dalam pengurusan sebuah kondominium atau perumahan pada zaman ini.

Kejayaan AGM yang dihadiri oleh lebih 90 daripada 130 penduduk yang layak mengundi itu menunjukkan betapa perlunya penglibatan aktif penduduk, dalam membuat keputusan bersama.

6273939556160093233

Lebih 90 penduduk yang hadir AGM untuk menyuarakan hak mereka.

Dalam mesyuarat tersebut, keputusan menurunkan bayaran penyelenggaraan kepada kadar lebih rendah dan mampu dibayar serta pelantikan pasukan pengurusan baharu merupakan langkah penting bagi memastikan sistem yang lebih efisien serta adil bagi semua penduduk dan memastikan kebajikan mereka terjaga.

"Namun, kejayaan ini bukanlah sesuatu perkara yang mudah.

"Ia memerlukan kesedaran dan tanggungjawab daripada penduduk untuk terlibat secara aktif dalam setiap perbincangan dan keputusan yang dibuat.

"Salah satu cabaran utama adalah memastikan semua penduduk, terutama mereka yang tidak terlibat secara langsung memahami pentingnya kehadiran mereka dalam AGM," katanya kepada Majoriti.

Katanya, apabila penduduk tidak mahu ambil tahu dan beri kerjasama, lebih mudah terjadi salah guna kuasa, culas dalam menjalankan tanggungjawab atau masalah lebih besar seperti peningkatan caj penyelenggaraan yang tidak munasabah atau penalti kerana kelewatan dalam membayar caj penyelenggaraan yang akhirnya menyebabkan penduduk sendiri tertindas.

Situasi itu juga dapat memberi contoh kepada pihak pengurusan dan penduduk di sesuatu kawasan perumahan untuk mengambil tindakan sama demi kebajikan dan keselamatan penghuninya.

Setiap pemilik rumah juga dinasihatkan untuk mempunyai sikap ambil tahu sekurang-kurangnya perkara asas tentang fungsi, peranan, ejen pengurusan atau sub-pengurusan dalam sesebuah kondominium.

"Suara majoriti sangat penting dalam situasi ini walaupun ia mungkin akan beri tekanan pada semua pihak, termasuk golongan minoriti.

"Tetapi, kami dapat buktikan bahawa langkah ini dapat beri kejayaan dan keadilan buat penduduk.

"Kita telah berjaya mencapai kesejahteraan penduduk di sini dan mengharap kesejahteraan ini mampu dikekalkan oleh penduduk dari tahun ke tahun seterusnya," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram