Warga Mesir mengaku tak bersalah lilit leher anak dengan kabel telefon, lambung ke katil dalam rumah sewa di Brickfields


Bapa tersebut melakukan kesalahan itu di bilik sewanya dekat Jalan Maarof Bangsar, Brickfields pada 17 Disember lalu. — Gambar hiasan

SEORANG lelaki warga Mesir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat selepas didakwa melilit leher anak lelakinya dengan kabel telefon dan melambung anak perempuannya ke atas katil, pada minggu lalu.

Bapa berusia 37 tahun itu didakwa melakukan perbuatan tersebut terhadap anak lelakinya berusia empat tahun dua bulan manakala anak perempuannya berumur setahun enam bulan sehingga mengakibatkan kecederaan kepada kedua-duanya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di bilik sewanya di Jalan Maarof Bangsar, Brickfields pada 8.30 pagi, 17 Disember lalu.

BACA LAGI: Dera bayi sampai lebam pipi dan telinga, guru Taska di Puncak Alam didakwa bawah Akta Kanak-Kanak 2001

BACA LAGI: [VIDEO] Dua pejalan kaki cedera parah, penunggang motosikal cedera terseret dilanggar pemandu khayal di China

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Joshua Tee Yee Khuan tidak mencadangkan jaminan atas alasan, kesalahan itu tidak boleh dijamin dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Siti Aminah Ghazali menetapkan 20 Januari untuk sebutan kes, serahan dokumen dan lantikan peguam. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram