TIGA maut termasuk sepasang suami isteri dalam kemalangan 'aneh' membabitkan tiga kenderaan di Jalan Alor Pudak - Titi Haji Idris di Pendang, Kedah pada Khamis malam.
Ketua Polis Daerah Pendang, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, mangsa yang maut berusia 14, 34, dan 52 tahun.
Rodzi berkata, Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Pendang menerima maklumat mengenai kemalangan maut membabitkan sebuah kereta Proton Wira dan dua motosikal.
BACA LAGI: Ibu, anak 2 tahun maut, 4 lagi cedera kemalangan di WCE
BACA LAGI: [VIDEO] Pelumba 'drag race' maut kemalangan di Sandakan, acara perlumbaan ditangguh serta-merta
“Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku kira-kira pukul 11.20 malam ketika seorang pemandu berusia 31 tahun memandu Proton Wira dari arah Ayer Hitam menghala ke Sungai Tiang, Pendang.
“Apabila sampai di tempat kejadian, seorang remaja lelaki menunggang motosikal tiba-tiba memotong kereta di sebelah kanan jalan sebelum bertembung dengan sebuah lagi motosikal dinaiki sepasang suami isteri dari arah bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya, rempuhan itu mengakibatkan pembonceng motosikal yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu telah tercampak ke lorong kanan lalu dilanggar oleh kereta yang sedang bergerak lurus.
“Semua penunggang dan pembonceng disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta tidak cedera,” katanya.
Kemalangan maut itu membabitkan sebuah kereta Proton Wira dan dua motosikal.
Menurutnya, remaja itu maut akibat kecederaan di kepala, muka, tangan kiri, dan kaki.
Seorang lagi penunggang motosikal maut akibat kecederaan di kepala, muka, dan paha kanan, manakala isterinya meninggal dunia susulan kecederaan di kepala dan muka.
Tambahnya, mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Rodzi memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram