SEORANG pemandu bas ekspres bertindak agresif sehingga menyebabkan kerosakan sebuah kereta di Jalan Pantai, Johor Bahru, Johor pada Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya mengesahkan kejadian itu berlaku pada pukul 1.53 pagi.
Raub berkata, laporan polis juga dibuat wanita warga Taiwan berumur 35 tahun yang melaporkan keretanya dirosakkan oleh suspek di Jalan Pantai.
BACA LAGI: 'Sampai kaki melecur', budak jadi mangsa terpijak bara api ditimbus dengan pasir di Pantai Pimping
BACA LAGI: Ibu, anak 2 tahun maut, 4 lagi cedera kemalangan di WCE
Katanya, kereta mangsa mengalami kerosakan pada pintu, bonet hadapan, bumbung, cermin sisi dan cermin hadapan.
"Siasatan awal mendapati, punca kejadian berlaku disebabkan suspek tidak puas hati terhadap mangsa yang enggan memberi laluan untuknya menukar lorong.
"Suspek lelaki berusia 38 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan di kawasan Bukit Senyum, Johor Bahru pada Isnin lepas," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, hasil semakan juga mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah.
"Bagaimanapun, hasil ujian air kencing terhadap suspek menunjukkan dia negatif dadah.
"Suspek kini direman selama enam hari bermula Selasa lalu hingga Ahad ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan," jelasnya.
Sebelum ini, tular video memaparkan suspek yang merupakan pemandu bas berdiri di atas kereta terbabit dan menendang cermin hadapan beberapa kali dalam keadaan marah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram