
DUA pejalan kaki cedera parah dan seorang penunggang motosikal cedera selepas terlibat dalam satu kemalangan membabitkan sebuah kenderaan di Bandar Heshan dekat Jiangmen, Guangdong, China baru-baru ini.
Video insiden kemalangan yang berjaya dirakam kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan orang awam juga tular di laman media sosial sejak Rabu dan mengundang kecaman daripada warga maya.
Menurut maklumat melalui perkongsian di laman X (Twitter) dan Weibo, pemandu tersebut dipercayai berada dalam keadaan khayal ketika kejadian.
Malah, ramai yang meluahkan rasa marah dengan tindakan pemandu itu yang ingkar dan mengabaikan undang-undang termasuk tanda lintasan belang (Laluan Zebra) walaupun pelbagai advokasi atau nasihat diadakan di negara itu.
Kejadian di China, nyawa dah macam tiada nilai pic.twitter.com/9P6YeqVrxJ
— Nadine Ardine (@MoMoT_Nadine) December 12, 2024
Lebih mengejutkan lagi, dalam video kurang seminit yang dikongsikan itu memaparkan pemandu tersebut langsung tidak memberhentikan kenderaannya walaupun jelas kelihatan kedua-dua mangsa sedang melintas di laluan Zebra menuju ke seberang jalan.
Kenderaan tersebut juga dilihat dipandu laju sebelum merempuh kedua-dua mangsa sebelum melanggar seorang lagi penunggang motosikal.
Impak daripada rempuhan tersebut menyebabkan kedua-dua mangsa melambung ke udara dan penunggang motosikal berkenaan terseret beberapa meter.
Sementara itu, memetik laporan media antarabangsa, kejadian itu berlaku pada Ahad lalu. Kesemua mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital berdekatan selepas pemandu tersebut membuat panggilan kecemasan pada pihak berkuasa.
Menurut pihak berkuasa tempatan, pemandu yang hanya dikenali sebagai Luo Nan dipercayai memandu dalam keadaan khayal sama ada mabuk atau berada dalam pengaruh dadah.
"Satu kertas siasatan telah dibuka dan kes tersebut masih lagi dalam siasatan polis," menurut kenyataan tersebut.
Setakat berita ini ditulis, keadaan ketiga-tiga mangsa kini juga berada dalam stabil memetik laporan berita tempatan manakala nasib pemandu terbabit tidak dinyatakan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram