Rakyat Malaysia antara mangsa terbabit nahas bas terbabas masuk tasik, ragut 3 nyawa di Norway


  • Benua
  • Jumaat, 27 Dis 2024

Pasukan penyelamat sedang berada di tapak lokasi kemalangan bas terbabas di Nordland, Norway, pada Khamis. — Agensi

KEMALANGAN bas membawa kumpulan pelancong asing yang terbabas masuk ke dalam tasik berhampiran selat Raftsundet yang memisahkan kepulauan Lofoten dari tanah besar Norway mengorbankan tiga individu dan mencederakan empat mangsa, kata polis negara itu.

"Ramai penumpang dalam bas itu adalah warga asing," kata polis sambil menambah sebanyak 58 mangsa terbabit dalam nahas tersebut.

Penumpang bas terbabit terdiri dari lapan negara iaitu China, Perancis, India, Malaysia, Belanda, Norway, Singapura dan Sudan Selatan.

BACA LAGI: 'Sampai kaki melecur', budak jadi mangsa terpijak bara api ditimbus dengan pasir di Pantai Pimping

BACA LAGI: Ibu, anak 2 tahun maut, 4 lagi cedera kemalangan di WCE

Kepulauan Lofoten ialah destinasi musim sejuk popular untuk menonton fenomena dikenali sebagai cahaya Utara.

Polis berkata, beberapa penumpang yang dipindahkan dibawa ke sekolah tempatan manakala tiga dibawa ke hospital dengan helikopter.

“Keadaan cuaca di wilayah itu berada dalam keadaan teruk, menyukarkan operasi menyelamat,” kata polis tempatan dalam satu kenyataan.

Tiupan angin kencang dilaporkan sedang melanda kawasan itu.

"Keutamaan sekarang adalah untuk merawat yang cedera dan siasatan akan dilancarkan untuk mengenal pasti punca kejadian," lapor agensi berita Norway, NTB yang memetik kenyataan daripada pegawai polis Nordland, Bent Are Eilertsen.

Beliau menambah, pihaknya mengalami kesukaran untuk menghubungi saudara-mara mangsa kerana kekurangan senarai lengkap penumpang dan bilangan warganegara.

Dalam pada itu, Wisma Putra dalam satu nota media memaklumkan pasukan konsular telah dihantar untuk memberikan bantuan dan sokongan segera kepada rakyat Malaysia yang terjejas akibat kemalangan bas terbabit.

Kementerian Luar Negeri menyatakan bahawa Kedutaan Malaysia di Stockholm sentiasa berkomunikasi dengan pihak berkuasa Norway untuk mengumpul lebih banyak maklumat mengenai kejadian itu.

"Maklumat lanjut berhubung kejadian itu dijangka dikeluarkan oleh pihak berkuasa pada Jumaat," tambahnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram