KANAK-KANAK yang terselamat dalam kemalangan tragik membabitkan lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Melaka telah selamat menjalani pembedahan pada Rabu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri Melaka, Ngwe Hee Sem berkata, pembedahan Nur Sofea Humaira Khairul Ikhwan, 4, berjaya dijalankan pada pagi Rabu.
"Kanak-kanak perempuan tersebut mengalami patah tulang paha. Dia berada dalam keadaan ceria ketika saya melawatnya," katanya pada Rabu.
BACA LAGI: [VIDEO] Tayar treler tercabut punca nahas ragut 7 nyawa termasuk kanak-kanak di Lebuhraya PLUS
Sementara itu menurut Hee Sem, abang kanak-kanak perempuan berkenaan, Muhammad Uwais Al-Qarni, 7, masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Besar Melaka.
Ujarnya, Muhammad Uwais mengalami kecederaan serius pada paha kanan, namun dia dijadualkan menjalani pembedahan, petang Rabu.
Beliau turut memaklumkan bahawa pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan itu juga dirawat di ICU dan menunggu untuk menjalani pembedahan apabila keadaannya stabil.
"Pihak hospital sedang memantau perkembangan kesihatannya," katanya.
Setakat Rabu, Hee Sem berkata, hanya tiga mangsa kemalangan masih menerima rawatan di Hospital Besar Melaka.
"Semua penumpang bas warga Singapura yang cedera dan dirawat di Hospital Besar Melaka serta sebuah hospital swasta telah dibenarkan keluar.
"Keluarga mangsa warga Singapura yang meninggal dunia dalam proses menuntut jenazah dari hospital.
"Mereka juga menyampaikan ucapan terima kasih kepada pihak hospital, kakitangan dan pihak berkuasa atas tindakan pantas serta bantuan sejak insiden berlaku," katanya.
Hee Sem, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya, menasihatkan agar semua pengusaha lori dan trak memastikan penyelenggaraan berjadual dan pemeriksaan berkala kenderaan mereka.
"Kita tidak boleh hanya memberi tumpuan untuk mengurangkan kos dan mengambil jalan pintas. Lebih baik berhati-hati demi keselamatan orang awam," ujarnya.
Kemalangan tragik yang berlaku pada malam Isnin itu meragut tujuh nyawa dan mencederakan 33 yang lain.
Kemalangan tersebut melibatkan sebuah bas pelancongan yang membawa 27 penumpang, sebuah kereta, sebuah lori, sebuah treler, dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV). — The Star/ALLISON LAI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram