KERTAS siasatan berhubung kes mayat bayi lelaki disimpan dalam peti sejuk di sebuah hospital swasta di Klang, Selangor sudah lengkap, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan.
Memetik laporan Berita Harian, Hussein berkata, kertas siasatan yang lengkap bagaimanapun belum dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya (DPP) kerana polis masih menunggu beberapa dokumen dan laporan daripada pihak hospital.
"Ia melibatkan laporan berkaitan kematian bayi berkenaan dan rekod penyimpanan mayat bayi," katanya pada Selasa.
Bagaimanapun, Hussein enggan mengulas lanjut mengenai dapatan hasil siasatan kes tersebut.
Sebelum ini, tular video mendakwa sebuah hospital swasta di Selangor menahan jenazah bayi lelaki dikenali sebagai Muhammad Adham Mikail di bilik mayat selama 16 hari ekoran ibu bapanya gagal menjelaskan bil rawatan hospital.
Menjawab dakwaan tersebut, hospital swasta terbabit menafikan perkara itu dengan menyatakan bahawa pihaknya sudah membenarkan jenazah bayi berkenaan dikebumikan sebelum pembayaran bil hospital.
Kes kematian Muhammad Adham Mikail turut mendapat perhatian peguam terkenal, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar menyuarakan ketegasannya untuk membawa kes tersebut ke muka pengadilan.
Pada 13 Disember lalu, polis mengesahkan satu laporan daripada bapa kepada bayi terbabit dan ia diklasifikasikan sebagai Kertas Enkuiri Polis (KEP).
Polis kemudian memaklumkan, sudah selesai merakam keterangan empat individu membabitkan kejadian itu.
Hussien dilaporkan berkata, kesemua saksi yang diambil keterangan membabitkan ibu bapa bayi terbabit, doktor dan petugas hospital terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram