TUJUH dilaporkan maut termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dalam kemalangan melibatkan lima kenderaan di Kilometer (KM) 204 Lebuh Raya Utara Selatan arah utara, Alor Gajah, Melaka, pada Isnin malam.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, nahas kira-kira pukul 8.40 malam itu membabitkan sebuah bas ekspres, dua treler, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dan Perodua Bezza.
Menurutnya, siasatan awal mendapati sebuah treler dan bas masing-masing dipandu lelaki berusia 31 dan 56 tahun itu dalam perjalanan dari utara menghala ke selatan.
BACA LAGI: [VIDEO] Pelumba 'drag race' maut kemalangan di Sandakan, acara perlumbaan ditangguh serta-merta
BACA LAGI: Polis bantuan TNB maut, kereta bertembung 4X4 terlibat kemalangan dengan 9 ekor lembu
"Apabila tiba di tempat kejadian, tayar hadapan sebelah kanan treler berkenaan tercabut dan berada di bahagian tengah lebuh raya.
"Kemalangan berlaku apabila bas yang tiba di lokasi kejadian terlanggar tayar tersebut dan hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan.
"Semasa terbabas ke lorong bertentangan, bas berlanggar dengan Perodua Bezza sehingga kereta berkenaan terbabas ke lorong kiri jalan dan melanggar penghadang jalan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Jelas Ashari lagi, bas itu kemudian bertembung pula dengan sebuah lagi treler dan Toyota Estima dinaiki lapan sekeluarga.
Ujarnya, kemalangan itu mengakibatkan pemandu bas dan seorang penumpang serta pemandu dan empat penumpang Toyota Estima maut di tempat kejadian.
"Mayat semua mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.
"Semua kenderaan terbabit ditahan untuk dibawa ke Puspakom (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer) bagi pemeriksaan kenderaan.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Kemalangan itu mengakibatkan tujuh individu maut di tempat kejadian. — Facebook/APM Alor Gajah
Mengulas lanjut, Ashari berkata, identiti lima mangsa maut dikenal pasti setakat ini ialah pemandu bas, Noorisnien Khamid, 56, dari Skudai, Johor; pemandu Estima, Khairul Ikhwan Mazupi; isterinya, Fadzlenna Ramli, 32; bapa mentua, Ramli Ab Wahab, 66 dan anak bongsunya, Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2.
Bagaimanapun, identiti seorang penumpang bas dan seorang penumpang Estima yang maut masih belum dikenal pasti.
Dua lagi penumpang Estima, iaitu Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan dan adiknya, Nur Sofea Humaira Khairul Ikhwan masing-masing berusia tujuh dan empat tahun cedera serta dirawat di Zon Merah dan Zon Kuning Hospital Melaka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram