[VIDEO] Cubaan potong tak lepas penyebab wanita maut, 3 cedera dalam kemalangan di Kota Kinabalu 


  • 112
  • Selasa, 24 Dis 2024

Kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu jenis Honda Accord dan Perodua Alza.

SEORANG wanita maut manakala suami dan dua anaknya cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas ke dalam parit selepas bertembung dengan kenderaan lain di Jalan Lintas, Kota Kinabalu, Sabah, pada Ahad.

Dalam kejadian pukul 9 malam di kawasan Iramanis itu, wanita berusia 58 tahun yang duduk di tempat duduk hadapan tercampak sejauh kira-kira 50 meter dari kereta yang dipandu suaminya yang berusia 61 tahun.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.

BACA LAGI: Tiada laporan polis dibuat, kucing mati di UM dipercayai diserang haiwan liar — Polis Brickfields

BACA LAGI: [VIDEO] Tiada tanda serangan anjing liar, aktivis dakwa psikopat dalang pembunuhan kejam kucing-kucing di UM

"Kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu jenis Honda Accord dan Perodua Alza.

"Siasatan awal mendapati, pemandu kereta Honda Accord berusia 60-an bersama tiga ahli keluarga termasuk isterinya dalam perjalanan pulang ke rumah dari Inanam ke arah Petagas.

"Ketika kejadian, kereta tersebut berada di lorong tengah dan pemandu hendak memotong kenderaan di hadapannya dengan menukar ke lorong kanan, namun ketika itu terdapat kenderaan lain di hadapan menyebabkan pemandu menekan brek dan masuk semula ke lorong asal.

"Bagaimanapun, kenderaan dipandunya tiba-tiba hilang kawalan dan bergesel dengan sebuah kenderaan jenis Perodua Alza yang dipandu seorang lelaki berumur 40-an dan menyebabkan kereta Honda Accord tersebut terbabas masuk ke dalam parit di sebelah kiri jalan," katanya dalam kenyataan.

Kasim memaklumkan, nahas itu mengakibatkan tiga penumpang yang berada di dalam kenderaan Honda Accord tersebut tercampak keluar.

"Hasil siasatan juga mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu tersebut yang gagal mengawal kenderaannya dengan baik sehingga hilang kawalan lalu terbabas dan menyebabkan kematian penumpang," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram