SERAMAI kira-kira 40 pegawai dan anggota polis akan ditempatkan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, (Masjid Ladang), Kuala Terengganu, Terengganu bagi mengawal keselamatan dan memastikan kelancaran proses hukuman sebat terhadap seorang tukang rumah, pada Jumaat ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-mana individu atau kumpulan yang cuba mencetuskan provokasi kepada petugas atau pesalah pada hari kejadian.
Menurutnya, hanya 70 individu sahaja dibenarkan memasuki ruangan tempat hukuman sebat dijalankan.
BACA LAGI: Laksana hukuman sebat cara syariah di khalayak umum, cadangan Terengganu dapat 'restu' ramai
BACA LAGI: Tiga kali berkhalwat, tukang kayu jadi individu pertama disebat di Terengganu
"Saya ingin menasihati orang ramai yang hadir di Masjid Ladang pada Jumaat ini supaya keluar dengan segera setelah selesai menunaikan solat Jumaat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Azli dalam pada itu turut mengingatkan orang ramai agar tidak berkumpul di luar atau di sekitar pekarangan masjid kerana dikhuatiri boleh mengganggu kelancaran proses hukuman yang akan dilaksanakan.
Tegas beliau, pihaknya juga tidak membenarkan sebarang rakaman dilakukan semasa hari kejadian.
"Pihak polis akan melakukan pemeriksaan bagi memastikan tiada alatan elektronik atau telekomunikasi dibawa masuk ke ruangan hukuman. Hukuman telah diputuskan. Saya mohon supaya semua pihak menghormati undang-undang dan tidak melakukan kekacauan," katanya.
Untuk rekod, Mohd Affendi, 42, akan menjadi individu pertama di Terengganu yang dihukum dengan enam kali sebatan di khalayak ramai, pada Jumaat ini.
Hukuman itu diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu pada 20 November lepas setelah lelaki itu mengaku salah atas kesalahan khalwat berulang mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram