SEKURANG-KURANGNYA 21 orang dilaporkan terbunuh dalam keganasan di Mozambique dekat kawasan tenggara Afrika sejak Isnin lalu, selepas keputusan pilihan raya negara itu diumumkan.
Menteri Dalam Negeri Mozambique, Pascoal Ronda, mengesahkan angka kematian tersebut dalam satu sidang media pada Selasa.
Dalam tempoh 24 jam sejak keputusan diumumkan, sebanyak 236 jenayah serius direkodkan.
BACA LAGI: Laksana hukuman sebat cara syariah di khalayak umum, cadangan Terengganu dapat 'restu' ramai
BACA LAGI: Tiga kali berkhalwat, tukang kayu jadi individu pertama disebat di Terengganu
#FPLive | Mozambique Violence LIVE: At Least 21 Killed in Unrest After Top Court’s Election Decision https://t.co/zlkFhu5Cnc
— Firstpost (@firstpost) December 25, 2024
Dua anggota polis adalah antara yang terbunuh, manakala 71 individu ditangkap dalam keganasan tersebut.
Penunjuk perasaan dilaporkan menyerang bangunan, kenderaan dan unit polis.
Pihak berkuasa pilihan raya sehari sebelumnya mengesahkan pemilihan semula parti Mozambique Liberation Front (FRELIMO), yang telah berkuasa selama 49 tahun, dalam pilihan raya presiden pada 9 Oktober lalu.
Kumpulan hak asasi manusia mendakwa pasukan keselamatan bertindak secara berlebihan dalam menangani protes yang tercetus selepas pilihan raya tersebut, termasuk menggunakan peluru hidup dan peluru getah terhadap orang awam.
Sejak pilihan raya berlangsung, lebih 100 orang terbunuh dalam siri protes sporadik.
Ketegangan semakin memuncak selepas mahkamah tertinggi negara pada Isnin mengesahkan kemenangan Daniel Chapo, calon parti Frelimo, yang telah memerintah Mozambique sejak negara itu merdeka daripada Portugal pada 1975.
Keputusan itu mencetuskan kemarahan dalam kalangan rakyat, yang membalasnya dengan membakar tayar dan menyekat jalan raya menggunakan sampah serta tiang lampu jalan.
Menurut Pascoal Ronda, ratusan bangunan dirompak dan dirosakkan, termasuk balai polis, sekolah, hospital, mahkamah dan rumah.
Sebuah penjara turut menjadi sasaran serangan, menyebabkan 86 banduan dibebaskan.
"Tindakan ini merupakan ancaman langsung kepada kestabilan, keselamatan awam dan nilai-nilai demokrasi muda kita.
"Pasukan keselamatan akan bertindak tegas untuk memulihkan keadaan dan memastikan pelaku bertanggungjawab," ujarnya.
Sementara itu, calon pembangkang utama, Venâncio Mondlane turut mendakwa dirinya sebagai pemenang sebenar pilihan raya.
Beliau menyeru rakyat untuk melancarkan protes di jalan raya.
Dalam satu siaran langsung pada Selasa, beliau menyatakan kesediaannya untuk berdialog, tetapi dengan syarat pengantaraan antarabangsa.
"Saya akan melakukan apa yang rakyat mahukan. Saya bersama rakyat," katanya.
Kemarahan rakyat berpunca daripada ketidakadilan yang meluas dalam proses pilihan raya, termasuk pendaftaran pengundi dan pengiraan undi, seperti dilaporkan oleh pemerhati bebas.
Ramai berpendapat bahawa ketidakadilan ini membantu kemenangan Chapo dan parti Frelimo.
Mahkamah bagaimanapun mengesahkan keputusan pilihan raya dengan Daniel Chapo memperoleh 65 peratus undi, manakala Mondlane hanya mendapat 24 peratus.
Kekacauan itu menambah masalah kepada ekonomi Mozambique yang sudah rapuh. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram