BAU harum santan yang dikukus bersama pulut memenuhi ruang udara, menarik perhatian pelanggan yang lalu-lalang di sekitar Pasar Borneo.
Di sebalik sebuah meja yang dipenuhi aneka kelupis, sebuah keluarga sedang sibuk membantu menyusun bungkusan makanan tradisi istimewa dari Sabah itu sebagai sajian kepada pengunjung.
Sudah hampir empat tahun, keluarga ini setia berniaga di Pasar Borneo, memperkenalkan warisan rasa unik dari Sabah kepada penduduk Semenanjung.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Adik-beradik Nur Diyana sering turun padang untuk membantu jualan kelupis dan nasi kuning buatan ibu mereka.
Usaha itu bermula atas inisiatif ibu mereka, yang berasal dari Keningau, Sabah, setelah diajak oleh seorang rakan untuk membuka perniagaan di pasar pagi yang beroperasi di Seri Kembangan, Selangor pada setiap Sabtu.
Kongsi Nur Diyana Abdul Rasid, 39, yang bertindak sebagai pembantu tetap dalam perniagaan itu, ibunya, Elenah Paimin memang handal dalam menyediakan makanan tradisional Sabah.
"Mak mendaftar tapak dan mulakan perniagaan secara kecil-kecilan terlebih dahulu. Apabila sambutan semakin baik hari demi hari, barulah kami yakin untuk menambah kuantiti.
"Kami adik-beradik termasuk bapa juga sering membantu mak untuk berniaga di sini (Pasar Borneo)," katanya kepada Majoriti.
Bercerita lanjut, anak sulung daripada empat beradik itu memberitahu, kelupis, makanan yang mirip ketupat atau lepat tetapi dikukus dengan santan itu, meliputi dua jenis pulut iaitu pulut putih dan campuran pulut merah yang lebih berlemak.
Kelupis merupakan sajian tradisi istimewa dari Sabah.
"Kalau di sini (Semenanjung) kita panggil lepat, tapi di Dusun ia disebut bintanok untuk ubi dan punti untuk pisang. Setiap bahan ada nama tersendiri dalam bahasa mereka.
"Kelupis Dusun mempunyai keunikan tersendiri, berbeza dengan lepat versi tempatan yang sering mengandungi kelapa di bahagian tengah.
"Uniknya untuk kelupis, mereka tidak menggunakan tepung, sebaliknya guna beras yang disangai dan ditumbuk halus, kemudian ia dibungkus menggunakan daun nyirik, tapi kalau daun ini tak ada, kami gantikan dengan daun pisang.
Hidangan itu katanya, sering dimakan bersama kuah kacang, rendang atau mengikut selera pembeli.
"Penghasilan kuih-kuih tradisional ini bergantung pada permintaan. Kalau kelupis putih, kami biasanya buat dalam dua setengah kilogram (kg), manakala untuk yang merah pula, kira-kira 2kg," jelasnya sambil menyatakan bahawa ibunya berasal dari suku kaum Dusun.
Keluarga ini akan menggantung bendera Sabah di gerai bagi menarik perhatian pengunjung.
Selain itu, Nur Diyana dan keluarganya turut menjual sajian tradisional Sabah yang lain seperti nasi kuning yang turut menjadi tarikan pengunjung.
Seakan-akan nasi lemak dengan keistimewaan santannya, nasi kuning membawa keunikan tersendiri melalui campuran kunyit untuk memberikan warna kuning dalam resipi ini.
"Kunyit, dengan rona keemasan yang cerah, bukan sekadar memberi warna pada nasi ini, ia juga menyuntik rasa lembut dan keharuman yang membangkitkan selera.
"Hidangan ini kebiasaannya dimakan dengan ikan tongkol goreng, mengikut cita rasa Sabah," jelasnya menambah, hasil jualan boleh mencecah sehingga RM700 sehari.
Selain berniaga di pasar, keluarga tersebut juga aktif menyertai pelbagai acara luar seperti di program universiti dan ekspo.
"Kami pernah berniaga di beberapa kawasan seperti dekat Kelana Jaya dan Subang.
"Di setiap gerai, kami akan letakkan bendera Sabah supaya orang tahu makanan kami adalah autentik dari negeri itu," katanya.
Ibu tiga anak ini turut menyuarakan harapan agar usaha mereka sekeluarga dapat memartabatkan makanan tradisional dari Sabah dan Sarawak, selain memperluas warisan rasa kepada seluruh rakyat Malaysia.
"Kalau ada lebih banyak sokongan untuk peniaga makanan tradisi seperti ini, Insya-Allah, kami mahu teruskan perniagaan ini dan tambah lagi menu yang unik," tambahnya penuh harapan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram