Suami letak 2 syarat nak buat bisnes, suri rumah di India kini miliki empayar pakaian dalam bernilai puluhan juta ringgit


  • Bizz
  • Ahad, 22 Dis 2024

Sheela berjaya mengembangkan jenama V-Star menjadi sebuah perniagaan yang kini bernilai sekitar RM70 juta. — Agensi

APABILA seseorang memiliki tekad yang kuat, pandangan masyarakat dan cabaran hidup bukanlah halangan untuk mencapai impian.

Ini dibuktikan oleh Sheela Kochouseph Chittilappilly, seorang suri rumah yang kini menjadi pengasas dan pengarah urusan V-Star Creations, jenama pakaian dalam terkemuka di India.

Walaupun memegang status sebagai isteri kepada Kochouseph Thomas Chittilappilly, yang juga tokoh perniagaan dan pengasas kumpulan V Star (V Guard Electronics, Taman Tema Wonderland dan lain-lain), Sheela memilih untuk meminjam wang dan menyewa sendiri ruang bagi melancarkan perniagaannya.

Meskipun keputusan wanita itu untuk memasarkan produk pakaian dalam pada mulanya menerima kritikan, namun dia berjaya mengatasi setiap rintangan untuk mengembangkan jenama V-Star menjadi sebuah perniagaan yang kini bernilai sekitar RM70 juta.

BACA LAGI: 'Tauke tak malu lap meja makan', bekas kontraktor terokai sektor F&B lepas hampir 3 dekad dalam dunia pembinaan

BACA LAGI: [VIDEO] Dianggap tak layak urus bisnes, Kim Kardashian tukar kritikan jadi motivasi bina empayar nilai ratusan jutaan ringgit

2

Kochouseph (kanan) meletakkan dua syarat kepada isterinya sebelum menubuhkan perniagaan sendiri. — Agensi

Permulaan kerjaya

Berasal dari Kerala, India, bapa Sheela yang merupakan ahli perniagaan, meninggal dunia ketika dirinya masih muda.

Kehilangan itu membangkitkan semangat usahawan tersebut untuk berdikari dan bekerja lebih keras.

Sejak kecil, dia menunjukkan minat mendalam terhadap bidang pembuatan pakaian.

Minat kreatif itu kemudian menjadi asas kepada kejayaannya, menjadikan Sheela antara jutawan terkemuka di Kerala.

Sebagai seorang suri rumah, Sheela sentiasa menyimpan tekad untuk melakukan sesuatu yang bermakna.

Justeru berbekalkan impian untuk menjadi usahawan dan membina jenama sendiri, dia memutuskan untuk berdiskusi bersama suami mengenai perancangan tersebut.

Apabila Sheela menyatakan keinginan untuk memulakan perniagaan sendiri, suaminya menetapkan dua syarat.

Dia perlu mendapatkan dana melalui pinjaman bank dan Kochouseph akan memberikannya sebuah pejabat kosong tetapi dengan sewa bulanan.

Tidak ada 'wang keluarga' yang boleh digunakan sebagai modal. Begitulah cara V-Star Creations, sebuah jenama pakaian dalam berkualiti tinggi dengan harga mampu milik, diasaskan pada 1995.

"Apabila saya pertama kali menyatakan hasrat untuk memulakan sesuatu, orang tertanya-tanya mengapa (saya nak lakukan) kerana saya datang dari keluarga berada.

"Namun saya menyimpan tekad untuk merealisasikan impian. Bapa pernah memiliki perniagaan tekstil dan barang kemas.

"Saya biasa melihat banyak kain dan bahan di sekeliling. Kami mempunyai mesin jahit di rumah dan saya sering membuat pakaian kecil menggunakannya," tambah Sheela.

5

Sheela menyimpan impian untuk menjadi usahawan dan membina jenama sendiri. — Agensi

Mula dari bawah

Sheela memulakan perniagaan dengan 10 pekerja termasuk seorang pereka bentuk, pemotong kain, perancang barangan dan pekerja lain yang berkaitan dengan perniagaan ingin diceburinya.

V-Star Creations bermula dengan membuat pakaian tradisional India seperti salwar kameez ketika trend tersebut baru berkembang di Kerala.

Kebanyakan wanita mahukan rekaan kurang menonjol berbanding yang terdapat di pasaran ketika itu.

Selepas lima tahun, dalam satu persidangan peniaga, Sheela ditanya mengapa dia tidak menceburi bidang pakaian dalam kerana jenama berkualiti tinggi sukar didapati di Kerala.

Kebanyakan pakaian dalam datang dari Mumbai dan Bengaluru.

Cabaran disahut. Dia mendapatkan beberapa coli dan seluar dalam berkualiti tinggi dari Mumbai, membuka jahitannya dan mula belajar cara menghasilkan produk tersebut dari awal.

"Pada masa itu, saya tidak dapat mencari pembuat corak yang benar-benar mahir. Saya terpaksa belajar sendiri dan mengajar orang lain.

"Begitulah cara saya masuk dalam perniagaan pakaian dalam," kongsinya.

3

V-Star Creations menjadi peneraju pasaran segmen pakaian dalam dan produk gaya hidup dengan pendapatan hampir RM70 juta. — Agensi

Upah biarawati jahit

Pada awalnya, semua keuntungan yang diperoleh Sheela dilaburkan semula ke dalam perniagaan.

Dia memilih model perniagaan yang pintar dan berdaya maju untuk negeri seperti Kerala, yang sering menghadapi isu pekerja mogok.

"Maaf saya katakan, Kerala tidak mempunyai suasana perindustrian yang sihat.

"Kami mengambil sumber luar, biarawati di rumah-rumah kebajikan untuk menjalankan kerja menjahit semua pakaian dalam.

"Mereka mempunyai wang, ruang dan dapat memberikan peluang pekerjaan kepada wanita daripada keluarga yang kurang bernasib baik.

Wanita-wanita tersebut kata Sheela, yang kebanyakannya tidak pernah melihat mesin jahit sebelum ini, dilatih bermula daripada perkara asas.

"Hari ini, kami mempunyai 16 unit dengan lebih daripada 1,000 wanita yang bekerja dengan produk ini," ceritanya.

V-Star Creations kini menghasilkan pakaian dalam wanita, legging, blaus siap pakai, camisole (anak baju) kanak-kanak perempuan serta seluar dan baju dalam lelaki.

Selain jualan di Kerala, produk tersebut turut dieksport ke beberapa negara Teluk.

4

Sebagai suri rumah, Sheela (duduk kanan) sentiasa menyimpan tekad untuk melakukan sesuatu yang bermakna. — Agensi

Laporan akaun

Ditanya sama ada suaminya meminta laporan akaun, Sheela membalas sambil tertawa.

"Bagus juga dia memberi pinjaman dan ruang pejabat dengan sewa. Ini membuatkan saya berbelanja dengan bijak kerana saya seorang yang boros.

"Malah, pada tahun pertama operasi, dia (suami) menegaskan agar saya memberikan bonus kepada kakitangan seperti yang dilakukannya dalam perniagaan.

"Saya terpaksa mengambil pinjaman lain untuk memberikan bonus itu," kongsinya lagi.

Hari ini, V-Star Creations menjadi peneraju pasaran dalam segmen pakaian dalam dan produk gaya hidup dengan pendapatan lebih Rs125 crore (hampir RM70 juta).

Kehadiran V-Star kini semakin kukuh di Kerala, Tamil Nadu, Karnataka dan Timur Tengah.

Walaupun Sheela telah mencapai kejayaan besar dalam kerjayanya, dia masih berhasrat untuk menakluki pasaran antarabangsa melalui jenama V-Star. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram