PENGGUNAAN teknologi internet pelbagai benda (IoT) membuka peluang baharu kepada seorang bekas tentera untuk menceburi bidang pertanian moden selepas bersara.
Sarjan (B) Mohd Shah A Rahman, 43, yang pernah berkhidmat dalam pasukan tentera sehingga 2022, kini menjadi petani moden melalui kaedah fertigasi.
Bermula dengan modal sebanyak RM1,300, dia memulakan usaha kecil-kecilan menanam sayuran di rumahnya.
BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 juta
Mohd Shah memantau ladangnya menggunakan teknologi IoT melalui aplikasi di telefonnya.
Bagaimanapun, percubaan awalnya menanam 2,000 polibeg terung tidak berjaya akibat kekurangan ilmu dan pengalaman hingga menyebabkan kerugian.
“Saya sedar perlu menambah ilmu, lalu saya menyertai kursus fertigasi yang dianjurkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di Port Dickson, Negeri Sembilan,” katanya.
Mohd Shah kemudian mengambil langkah menyewa tapak fertigasi di Pusat Rujukan Teknologi Tinggi Fama Alor Gajah pada Mei lalu.
Tapak tersebut dilengkapi teknologi IoT yang membolehkannya memantau aktiviti pertanian dengan lebih mudah dan efisien.
“Pusat ini menyediakan sistem fertigasi lengkap, termasuk saluran pengairan yang disambung terus ke tangki air dan pancang, serta peralatan IoT.
"Teknologi ini membolehkan saya memantau tahap pH air dan kandungan baja melalui aplikasi telefon pintar,” jelasnya.
Mohd Shah menambah, sistem IoT tersebut bukan sahaja menjimatkan masa, malah kos tenaga kerja.
“Ketika saya terpaksa menjaga ibu di hospital selama tiga hari, sistem ini masih berfungsi sendiri untuk membancuh baja dan menyiram 560 polibeg tanaman terung serta cili,” katanya.
Menurut bapa kepada empat anak itu, hasil tanaman pertama melalui kaedah ini cukup memberangsangkan apabila dia berjaya menuai kira-kira 1.5 tan terung dalam tempoh 45 hari.
Penggunaan teknologi IoT turut membolehkan Fama memantau perkembangan pertanian yang dijalankan peserta.
Selain itu, agensi tersebut juga menyediakan khidmat nasihat dan bimbingan berterusan untuk membantu usahawan tani seperti Mohd Shah meningkatkan hasil mereka.
Sementara itu, Pengarah Fama Melaka, Nor Azhar Abdul Hamid berkata, teknologi IoT yang digunakan telah dibeli dari Itali dan diperkenalkan di Melaka sebagai projek perintis.
“Kami sedang memantau keberkesanan teknologi ini dan berharap ia dapat dimanfaatkan lebih ramai petani pada masa akan datang,” katanya.
Dengan bantuan teknologi canggih dan bimbingan yang berterusan, Mohd Shah kini bersemangat untuk mengembangkan lagi usaha pertaniannya sambil membuktikan bahawa teknologi dapat mengubah landskap pertanian tradisional ke arah yang lebih moden dan produktif. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram