BAGI J Ganesan, 43, pembuat muruku dari Kampung Kacang Putih, Buntong, Ipoh, Perak, permintaan terhadap muruku keluarganya tetap mendapat sambutan sepanjang tahun, meskipun bukan dalam tempoh perayaan Deepavali.
Menurut Ganesan, perniagaan muruku keluarganya dimulakan 60 tahun lalu oleh datuknya, N Ammamuthu, sebelum diwarisi oleh mendiang bapanya, A Jayabalan, yang meninggal dunia pada 2020.
Resipi tradisional yang diwarisi turun-temurun itu masih dikekalkan hingga ke hari ini tanpa sebarang perubahan.
“Tiada apa yang berubah sejak 60 tahun lalu. Semua ramuan mesti mengikut sukatan tepat.
"Tepung pula diadun secara manual dengan tangan dan kami elakkan penghasilan dalam kuantiti besar kerana bimbang menjejaskan kualiti dan rasa muruku,” jelasnya.
Tambah usahawan itu, keistimewaan muruku yang dihasilkannya terletak pada kerangupan dan keunikan rempah istimewa yang digunakan.
Ujarnya, ada muruku yang terlalu tebal, keras dan kurang rasa rempah.
"Kami tidak mengatakan muruku kami yang terbaik, tetapi setiap langkah dalam proses penyediaannya kami lakukan dengan penuh ketelitian.
Proses penyediaan muruku dilakukan dengan penuh ketelitian.
“Sebab itu kami hanya fokus pada satu produk sahaja dan tidak menghasilkan kacang atau snek lain. Kami mahu pastikan kualiti muruku sentiasa terjaga,” katanya.
Muruku yang dihasilkan Ganesan bukan sahaja memenuhi permintaan peniaga dari seluruh Perak, malah turut ditempah pelanggan dari luar negeri, syarikat dan individu.
Permintaan yang meningkat tidak terhad pada musim Deepavali sahaja, malah turut berlaku ketika Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina.
Bagi Ganesan, Kampung Kacang Putih di Buntong sudah menjadi simbol kejayaan keluarga dan komuniti di situ yang menjalankan perniagaan ini.
“Kacang putih adalah lambang keunikan dan kejayaan keluarga Buntong. Kami sering mendengar maklum balas positif bahawa kacang putih dari Ipoh adalah antara yang terbaik.
“Saya masih ingat zaman kecil dahulu, saya ikut ayah berniaga di pasar malam, dari rumah ke rumah, malah di bawah pokok.
"Kadangkala kami pergi sejauh Batu Caves untuk berniaga, tetapi kini, peminat kacang putih yang datang ke Buntong mencari produk kami,” ujarnya syukur.
Kini Ganesan menjual muruku pada harga RM20 sebalang kepada pembekal, yang kemudiannya dijual semula pada harga antara RM25 hingga RM27.
Sementara itu, isterinya, T Kavitha, 38, turut berkongsi rasa bangga kerana dapat meneruskan tradisi keluarga suaminya sebagai pengusaha muruku terkenal di Buntong.
“Perniagaan muruku ini menjadi sumber rezeki keluarga suami saya sejak sekian lama. Kami sepakat untuk meneruskan legasi ini agar ia tidak hilang ditelan zaman,” kata Kavitha, yang kini melatih tiga anak perempuan mereka untuk mewarisi kemahiran tersebut.
Menurut Kavitha, anak-anaknya sudah mahir dalam mencampurkan adunan, membentuk muruku berpintal dan membungkusnya, manakala proses memasak masih dikendalikan oleh suaminya.
“Suami saya sering menekankan kepada anak-anak tentang kepentingan memahami setiap langkah dalam proses ini.
"Dia mahu anak-anak kami benar-benar mahir dan dapat meneruskan perniagaan ini pada masa hadapan,” tambahnya.
Muruku keluaran keluarga Ganesan bukan sahaja pengikat tradisi tetapi juga simbol usaha gigih dan semangat keluarga untuk memastikan warisan ini terus dinikmati generasi akan datang. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram